Khamis, 6 Februari 2014

JAWAPAN IMAM AHMAD AS BERKENAAN BINTANG BERBUCU ENAM?

Pertanyaan 23: Apakah pengertian kalimat Israel? Adakah Zionis yang berada di Palestin hari ini bani Israel atau berasal dari mereka? Adakah bintang berbucu enam itu milik Zionis? Dan apakah maksud bintang berbucu enam tersebut?

Jawapan: Israel bererti Abdullah (hamba Allah). Dan sebahagian orang Yahudi yang berada di Bumi Suci ini berasal daripada keturunan Nabi Yaakub AS, dan dia adalah Abdullah, dan bagi orang Yahudi dia adalah Israel.

Bintang berbucu enam ini bagi orang-orang Yahudi, adalah Bintang Daud, dan bererti BEROLEH KEMENANGAN, dan bagi mereka ia adalah simbol bagi seorang pembaharu yang dinantikan, iaitu Nabi Elia AS, yang telah diangkat [ke langit] lama sebelum Isa AS diutuskan. Mereka menunggu kedatangannya kembali, dan dia sekarang menjadi salah seorang wazir Imam Al-Mahdi AS.

Sepertimana yang telah disebutkan, Israel bererti Yaakub, akan tetapi hakikat sebenarnya adalah Israel bererti Abdullah, iaitu MUHAMMAD SAAW.

Dan bani Israel adalah KELUARGA MUHAMMAD AS, dan para pengikutnya serta Muslimin secara umumnya sepertimana disebutkan dalam Quran. Dalam tafsir Al-Ayashi dan lain-lain:

Harun bin Muhammad berkata, “Aku bertanya Abu Abdullah AS tentang firman Yang Maha Tinggi, {Wahai bani Israel}. Dia AS berkata, ‘Mereka adalah kami secara khusus’ ”.

Muhammad bin Ali berkata, “Aku bertanya Al-Sadiq AS tentang firman Allah, {Wahai bani Israel}. Dia berkata, ‘Ini adalah keluarga Muhammad SAAW secara khusus.’ “

Dalam Sunan Abi Daud, dari Nabi SAAW yang berkata,

“Aku adalah Abdullah, namaku Ahmad. Dan aku adalah Abdullah, namaku ialah Israel. Apa sahaja yang Dia SWT perintahkannya [iaitu Israel], maka Dia SWT perintahkan aku. Apa sahaja yang Dia SWT maksudkan dengannya [iaitu Israel], maka Dia SWT maksudkan aku.”
[1]

• Maka itu, sebahagian ayat adalah mengenai Imam[2] secara khusus, dan mereka AS merupakan bani Israel.

Allah SWT berfirman:

{Wahai bani Israel, ingatlah nikmatKu yang telah Aku berikan kepadamu dan Aku telah melebihkan kamu di atas sekelian alam ۝ Dan takutilah hari ketika mana tidak seorang pun dapat menggantikan [membela] orang lain sedikit pun, dan tebusan tidak diterima, dan perantaraan tidak berguna baginya dan mereka tidak akan ditolong.}.
[3]

{Wahai bani Israel}: bererti keluarga Muhammad SAAW.

{Ingatlah nikmatKu}: bererti nikmat wilayah dan Imamah, dan penguasaan atas seluruh dunia.

{Dan Aku telah melebihkan kamu di atas sekelian alam}: bererti dengan mengenaliKu (ma’rifatullah SWT), dan mengenali nama-namaNya.

Dan dimaklumi bahawa Muhammad dan keluarganya adalah orang-orang yang telah dilebihkan di atas sekelian alam, bukan bani Yaakub, atau sesiapa selain mereka yang dilebihkan di atas keluarga Muhammad SAAW.

{Dan takuti hari}: iaitu hari kematian, dan ini adalah satu-satunya hari yang tidak ada perantaraan [syafaat]. Maka itu, azab ketika maut [nazak] tidak seorang pun mampu menanggungnya, melainkan orang yang hanya tubuhnya berada di dunia tetapi hatinya terpaut langit paling atas [bil mala’ al-a’la] dan tidak terikat pada dunia ini oleh tali dan penambat yang perlu dipotong dan dicabut lalu menyebabkan siksaan.

Dan orang-orang yang terselamat daripada azab kematian ini adalah orang-orang didekatkan. Allah SWT berfirman:

{Maka jika dia termasuk orang-orang yang didekatkan ۝ Maka [dia memperoleh] ketenteraman, selasih dan syurga yang penuh kenikmatan},
[4] ertinya pada saat kematiannya, dan Tuan bagi orang-orang yang didekatkan tadi adalah Muhammad dan keluarganya SAAW.

• Dan sebahagian ayat tentang BANI ISRAEL adalah khusus untuk Syiah dan para ulama Syiah. Allah SWT berfirman:

{Dan apabila seorang rasul dari Allah datang kepada mereka yang membenarkan apa yang ada bersama mereka, segolongan dari mereka yang telah diberikan Kitab melemparkan Kitab Allah itu ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak tahu ۝ Dan mereka mengikut apa yang telah diucapkan oleh syaitan mengenai kerajaan Sulaiman. Sulaiman tidak kafir, tetapi syaitan itulah yang kafir.}
[5]

{Dan apabila seorang rasul dari Allah datang kepada mereka}: bererti seorang rasul [utusan] daripada Imam Al-Mahdi AS, kerana setelah pengutusan manusia sempurna ini [insan al-kamil] ini;

“Kalimatmu yang sempurna dan kalimatmu yang telah engkau muliakan di atas sekelian alam,”

Dan mereka [kalimat] ini adalah Muhammad dan keluarganya, penutup risalah dari Allah SWT, dan bermulanya era baru, iaitu risalah dari utusan Muhammad dan keluarga Muhammad SAAW, kerana keluarga Muhammad adalah utusan dari Muhammad SAAW. Mereka memperoleh ilmu darinya SAAW melalui wahyu, atau melalui para malaikat, atau langsung darinya SAAW. Oleh kerana itu, Rasul Muhammad SAAW adalah, “Penutup bagi apa yang telah datang, dan pembuka bagi apa yang akan datang,” bererti penutup risalah dari Allah, dan pembuka pengutusan [al-irsal] darinya SAAW dan dari keluarganya AS.

Dan sesungguhnya, sudah terbukti bagi Syiah bahawa Imam Al-Mahdi AS akan mengutuskan Muhammad bin Al-Hassan, yang Berjiwa Suci [annafs al-zakiyah], kepada penduduk Mekah, lima belas hari sebelum kemunculannya lalu mereka membunuhnya.
[6] Maka, jika pengutusan ini benar, maka pengutusan yang lain juga adalah benar.

{yang membenarkan apa yang ada bersama mereka}: iaitu ilmu yang diwarisi Syiah daripada Ahlulbait AS, bahawa Al-Mahdi AS itu adalah benar, dan dia bangkit dengan pedang, dan sebelum kebangkitannya ada orang yang akan membuka jalan bagi kekuasaannnya, dan dia mempunyai zuriat, dan setelahnya ada dua belas Mahdi dari zuriatnya. Dan mereka, iaitu Syiah, sangat pasti, berdasarkan riwayat-riwayat dari mereka AS, bahawa bumi ini jika tiada seorang Imam, maka ia akan musnah bersama penghuninya.
[7] Jadi, setelah pembunuhan (atau seperti kepercayaan sebahagian mereka, kematian) Imam Al-Mahdi AS, dengan siapa bumi ini akan berdiri jika bukan melalui salah seorang puteranya, wasi-wasi setelahnya, para Imam al-Mahdiyin, sepertimana riwayat mengenai mereka AS?

Dan mengenai solat pada hari Jumaat, Ibnu Thawus (Allah merahmatinya) berkata—dan dia adalah antara orang yang bertemu Imam Al-Mahdi AS, malah dia meriwayatkan daripadanya AS pada masa keghaiban besar—“Jika kamu terlepas wirid [ta’qib] Asar pada hari Jumaat atas alasan apa pun, maka janganlah kamu meninggalkan doa ini selama-lamanya, kerana perintah Allah SWT yang telah memberitahu kami.” Kemudian dia menyebutkan doa tersebut, dan di akhir doa tersebut Imam AS mengatakan:

“Dan selawat atas waliMu (iaitu Imam Al-Mahdi AS), dan wali-wali bagi perjanjianMu dan para Imam dari keturunannya. Dan panjangkanlah usia mereka, dan sampaikan mereka kepada puncak tertinggi harapan mereka dalam agama, dunia dan akhirat. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
[8]

Disebutkan dalam riwayat bahawa dia tinggal di Masjid Al-Sahlah bersama keluarganya.
[9] Dan disebutkan bahawa setelahnya ada sebelas Mahdi dari keturunannya AS.[10]

Dan riwayatnya ada banyak dan saya tidak akan memperlihatkannya sekarang, tetapi saya menyebut sebahagian darinya sebagai bukti terhadap orang-orang yang degil dan angkuh terhadap Allah dan wali-waliNya. Dan sesiapa yang mencari ilmu untuk kebenaran, boleh merujuk kepada kitab-kitab hadis dan membaca sendiri.

{Segolongan dari mereka yang telah diberikan Kitab melemparkan Kitab Allah itu ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak tahu}: Ini adalah sebahagian daripada ulama Syiah dan pengikut mereka, khususnya. Dan Kitab yang telah mereka lemparkan ke belakang itu adalah Quran, dan Imam Al-Mahdi AS, dan riwayat dari Ahlul Bait yang maksum, dan orang yang membuka jalan bagi Imam Al-Mahdi AS dan utusannya kepada mereka. Mereka mendustakan kebenaran apabila ia datang kepada mereka, dan mereka berkata dia adalah ahli sihir atau orang gila, atau dia dirasuki Jin, seolah-olah mereka tidak tahu bahawa ini adalah kebenaran [al-haq] daripada Imam Al-Mahdi AS.

{Dan mereka mengikut apa yang telah diucapkan oleh syaitan mengenai kerajaan Sulaiman}: Ertinya sebahagian ulama Syiah yang mengikut jalan umat terdahulu, serta tuduhan mereka terhadap para Nabi dan Rasul AS, dan mereka berkata ini daripada Jin (syaitan). Kerajaan Sulaiman bererti kerajaan Al-Mahdi AS.

{Sulaiman tidak kafir, tetapi syaitan itulah yang kafir}: dan oleh kerana Imam Al-Mahdi AS adalah Imam Manusia dan Jin, maka dia mengutuskan utusannya kepada Manusia dan Jin. Dan, sebahagian manusia beriman, sebahagian kafir, sebahagian munafik, dan sebahagian beriman kemudian murtad dan seterusnya; begitu pula, perkara yang sama terjadi kepada sebahagian Jin sepertimana yang terjadi pada manusia.

Juga, perkara terbesar adalah Imam Al-Mahdi AS bererti berakhirnya Iblis (Allah melaknatnya) dan bala tentera syaitannya dari kalangan Manusia dan Jin, maka bagaimana mungkin [perkara besar ini] tidak terkena tipu helah syaitan dari kalangan Jin serta tipu helah dan tipu muslihat mereka dalam urusan Imam Al-Mahdi AS, yang pada kali ini bererti berakhirnya seluruh kebatilan mereka?

•Dan sebahagian ayat tentang BANI ISRAEL adalah khusus untuk umat Islam yang menzalimi keluarga Muhammad AS. Dia Yang Maha Tinggi berfirman:

{Dan Kami tetapkan bagi bani Israel dalam Kitab itu, “Kamu pasti akan berbuat kerosakan di bumi ini dua kali dan kamu akan menjadi penzalim yang besar." ۝ Maka ketika janji pertama datang, Kami utuskan kepada kamu hamba-hamba Kami dengan kekuatan besar lalu memporak-perandakan seluruh negeri, dan janji ini pasti terlaksana.}
[11]

{Dan Kami tetapkan bagi bani Israel… menjadi penzalim yang besar}: KEROSAKAN PERTAMA dari umat ini adalah pembunuhan Fatimah dan Imam Ali AS. Dan KEROSAKAN KEDUA adalah pembunuhan Al-Hasan dan Al-Hussein AS. Dan PENZALIM YANG BESAR adalah pelanggaran mereka terhadap kesucian Al-Hussein AS, menghancurkan tubuh sucinya, dan menjulang kepalanya di hujung tombak; sedangkan dia adalah yang kelima dari Orang Yang Diselimuti [ashab al-kisa’]] dan makhluk terbaik Allah setelah Muhammad, Ali, Fatimah dan Al-Hassan AS. Dan hamba yang telah diutuskan pada kali pertama adalah Al-Mukhtar dan tenteranya, yang Allah SWT berikan kekuatan terhadap pembunuh-pembunuh Al-Hussein AS, lalu membunuh mereka. 

{Maka ketika janji yang hari akhirat, mereka akan menghinakan wajah-wajah kamu dan memasuki masjid sepertimana mereka masuk pada kali pertama, dan membinasakan apa sahaja yang mereka kuasai}
[12]: Mereka ini adalah para sahabat Al-Qaim AS dan para pendukungnya [Ansharihi]. Allah akan memperkasakan mereka sehingga menguasai Timur dan Barat bumi bersama penghulu mereka Muhammad bin Al-Hassan Al-Mahdi AS. Melalui mereka Allah akan menghinakan setiap orang kafir, munafik, dan peragu [murtab].

{Semoga Tuhanmu akan mengasihani kamu}
[13]: ertinya, wahai Muslimin, semoga Tuhanmu mengasihani kamu dengan mengikuti Al-Qaim, dan mendukungnya, dan memperakui bahawa dia adalah Imam yang mana setiap orang wajib mentaati dan mendukungnya, dan mereka juga diwajibkan untuk mendukung para pendukungnya dan memerangi musuh-musuhnya.

{Sesungguhnya, Al-Quran ini adalah petunjuk kepada yang paling lurus}
[14]: ertinya bahawa ayat-ayat terdahulu dalam Surat Al-Isra membimbing kamu kepada yang paling lurus, bererti jalan yang paling lurus [ash-shirat al-mustaqim], iaitu Imam Al-Mahdi AS.

{Dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang melakukan amalan baik bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar}
[15]: Dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dengan Al-Qaim AS, dan yang bekerja untuk kebangkitannya, kerana membuka jalan bagi kebangkitan Al-Qaim AS adalah perbuatan yang baik, dan ia adalah solat dan amalan yang terbaik. 

{Dan orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat, Kami sediakan untuk mereka azab yang pedih}
[16]: Hari akhirat adalah Imam Al-Mahdi AS dan orang-orang yang membuka jalan untuknya AS, dan ini adalah langit-langit Malakut dan bumi [malakut as-samawaat wa al-ardh], dan visi (rukyah) yang benar bagi orang beriman, dan ia adalah fitrah Allah yang dengannya Dia telah menciptakan manusia. Dan orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat adalah orang-orang kafir, sekalipun mereka mengaku Muslim. 

ADAPUN BINTANG BERBUCU ENAM, ini adalah warisan para Nabi, yang diwarisi oleh Al-Qaim Muhammad bin Al-Hassan Al-Mahdi AS, dan ia menjadi lambang kepadanya AS, yang bererti beroleh kemenangan dan dimenangkan. Dan Zionis Yahudi telah mencuri bintang ini, dan menjadikannya sebagai lambang mereka, dan sebagai simbol penantian mereka kepada pembaharu sejagat yang dijanjikan; dan menurut mereka, seperti yang telah saya sebutkan sebelumnya, adalah Nabi Ilya AS. Dan orang-orang yang menghina bintang ini dan melaknatnya adalah seperti orang yang melaknat kalimat Allahu Akbar yang Saddam (Allah melaknatnya) letakkan pada bendera Iraq, maka itu orang tersebut menjadi seperti orang yang melaknat warisan para Nabi AS.  
 
Bintang ini adalah BINTANG AL-MAHDI AS. Dan diriwayatkan daripada mereka AS:

“Apabila panji kebenaran muncul, manusia Timur dan Barat akan melaknatnya.”
[17] 

Maka berhati-hatilah, wahai mukminin, kerana kutukan laknat itu jika tidak mengena sasarannya, ia akan kembali kepada orang yang menyebutnya, sepertimana yang dinyatakan oleh Nabi SAAW.
[18]

Dan Daud AS ini adalah Daud kami, dan Sulaiman AS ini adalah Sulaiman kami, dan haikal itu adalah haikal kami (Muslimin), dan bukan haikal Zionis Yahudi, pembunuh Nabi-nabi. Dan Tanah Suci itu adalah tanah kami, dan ia mesti dibebaskan dan dibuka, dan bendera LAILAHAILLALLAH, MUHAMMAD RASULULLAH, ALI WALIYULLAH mesti dijulang di dalamnya.

{Sesungguhnya, orang yang paling dekat dengan Ibrahim adalah mereka yang mengikutnya, dan Nabi ini dan orang-orang yang beriman. Dan Allah adalah penolong orang-orang mukmin.}
[19]

Dan terakhir, doa kami segala Puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

 

Kitab Al-Mutasyabihat oleh Sayyid Ahmad Al Hassan AS, jilid 1.
______________________________
[1] Tafsir Ayyashi: Jilid 1, halaman 44.

[2] Di sini Sayyid Ahmad Al-Hassan AS berkata, “Sebahagian ayat," kerana terdapat sebahagian ayat yang mencela bani Israel, dan ayat-ayat itu merujuk kepada orang-orang yang mengaku Syiah, tetapi mereka menghalang keluarga Muhammad SAAW. Maka itu, mereka sama seperti bani Israel yang mendakwa mempunyai dan mendukung para Nabi, tetapi gagal dalam melaksanakannya, melainkan sedikit daripada mereka. {Dan sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian setia dari bani Israel dan Kami utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. Setiap kali datang seorang Rasul kepada mereka membawa apa yang nafsu mereka tidak sukai, mereka mendustakan sebahagiannya dan dan membunuh sebahagian lagi.} [Al-Quran, Al-Maidah 5:70].
  
[3] Al-Quran, Al-Baqarah 2:122-123.
[4]Al-Quran, Al-Waqi‘ah 56:88-89  [5] Al-Quran, Al-Baqarah 2:101-102
[6] Lihat Bihar Al-Anwar: Jilid 52, halaman 203, 307.
[7] Muhammad bin Al-Fudhail mengatakan bahawa dia bertanya Imam Al-Ridha AS, “Bolehkah bumi ini kekal tanpa seorang Imam?” Imam AS berkata, “Tidak,” lalu aku berkata, “Kami meriwayatkan dari Abu Abdullah AS bahawa ia tidak akan kekal tanpa Imam, melainkan apabila Allah SWT murka kepada penduduk bumi atau penyembahNya”, lalu Al-Ridha AS berkata, “Tidak, ia tidak akan kekal dan akan menelan [sakhit] penghuninya” Al-Kafi: Jilid 1, halaman 277, hadis 11.
[8] Mafatih Al-Jinan, halaman 85  [9] Imam Al-Shadiq AS berkata, “Seolah-olah aku melihat turunnya Al-Qaim AS di masjid Al-Sahlah bersama pendukung dan keluarganya.” Bihar Al-Anwar: Jilid 52, halaman 317. Dan juga dalam, Mustadrak Al-Wasail: Jilid 3, halaman 414.  [10] Abu Hamzah meriwayatkan bahawa Abu Abdullah AS berkata dalam sebuah hadis yang panjang, “Wahai Abu Hamzah, setelah Al-Qaim ada sebelas Mahdi, dari kami, dari anak-anak Al-Hussein AS.” Ghaibat Al-Tusi halaman 309. [11] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 4-5.  [12] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 7.[13] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 8.  [14] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 9.[15] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 9.  [16] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 10. [17] Diriwayatkan bahawa Ubban bin Taghlub berkata, “Aku mendengar Abu Abdullah AS berkata, ‘Apabila panji kebenaran muncul, manusia Timur dan Barat akan mengutuknya, tahukah kamu kenapa?’ Aku berkata, tidak, lalu dia berkata, ‘Kerana apa yang manusia lihat dari ahli keluarganya [ahli baitihi] sebelum kemunculannya.’ “ Bihar Al-Anwar: Jilid 52, halaman 363.  [18] Abu Hamzah Al-Tsamali meriwayatkan bahawa Abu Jaafar AS berkata, “Apabila kutukan keluar dari seseorang, dibimbangi, sama ada ia menemui sasarannya atau kembali kepada orang yang menyebutnya.” Al-Kafi: Jilid 2, halaman 360.  [19] Al-Quran, Ali Imran 3:68.