Jumaat, 28 Disember 2012

AL YAMANI ANTARA BAHASA DAN PERSONALITI

Dalam usaha memahami intipati istilah "Yamani" ini, maka perlulah merujuk kepada buku-buku bahasa dan Hadis-hadis. Adakah istilah ini merujuk kepada negara, berkat, kuasa, sebelah kanan atau lain-lainnya? Adakah ia terbatas dengan merujuk kepada penduduk Yaman hari ini atau Yamani lain juga walaupun mereka tinggal di negara-negara asing, kerana ia tanah ibunda mereka? 

Telah disebutkan dalam Kitab Majma al-Bahrain, jilid keempat pada halaman 581: 

(YMN): Allah SWT berfirman: {Lalu dia memukul dengan tangan kanannya}[i] dalam erti kata lain, tangan kanan-Nya menunjukkan kuasa dan keupayaan. FirmanNya: {kamulah yang datang kepada kami dari kanan}[ii]. Dikatakan bahawa istilah ini adalah metafora yang merujuk kepada kebaikan dan sisinya, bermaksud (kamu sering datang kepada kami mendakwa mewakili Agama (Islam) dan menghiasi kesesatan kami, lalu kamu menunjukkan kepada kami perkara-perkara tentang agama dan kebenaran yang menyesatkan kami). 

Juga dikatakan bahawa istilah itu adalah metafora merujuk kepada kuasa dan penaklukan kerana tangan kanan dicirikan dengan kuasa, yang dengannya berlaku kekerasan. FirmanNya: {Niscaya benar-benar kami pegang dia pada tangan kanannya}[iii] merujuk kepada kuasa dan keupayaan. Dari segi lain ayat itu bermaksud: Kami akan memotong tangan kanannya dan menghalang beliau daripada bebas bertindak ... 

"Al-Yameen": Ia juga bermakna sumpah, jamak dalam bahasa Arab sebagai "Aymon" atau "Aymaan". Dikatakan bahawa ia telah mendapat makna tersebut kerana ia digunakan orang untuk mengangkat sumpah dengan menggenggam tangan kanan antara satu sama lain. Dikatakan juga bahawa maksudnya diambil dari "Al-Yameen" (kanan), yang merujuk kepada kuasa dan kekuatan kerana seseorang diberi kekuasaan dengan tangan kanan untuk menyempurnakan apa yang telah dia bersumpah untuk melaksanakannya, dan meninggalkan apa yang dia telah bersumpah untuk meninggalkannya. Dikatakan juga bahawa makna tersebut diambil dari "Al-Yumn" bermaksud berkat, kerana berkat diperolehi dengan menyebut atau berdoa kepada Allah ... 

Dalam Hadis [Batu (Hajar Al Aswad) adalah Yameen (tangan kanan) Allah; dengannya Dia akan menjabat sesiapa sahaja yang Dia mahu dari hamba-hambaNya.] Dikatakan: "Hadis tersebut adalah satu analogi dan perbandingan yang berasal dari fakta bahawa apabila raja menjabat tangan seseorang, maka lelaki yang dijabat tangannya hendaklah mencium tangan raja tersebut. Oleh itu, Batu Hajar dibandingkan dengan tangan kanan raja, kerana ianya disentuh dan dicium. Ianya dikurniakan sedemikian kerana perjanjian yang diambil dari keturunan Adam, dan diperintahkan manusia untuk saling berjanji setia sebagaimana firmanNya: {Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul [Engkau Tuhan kami], kami menjadi saksi}[iv]. Oleh kerana itu, doa yang dibacakan pada Hajar Al Aswad adalah: "Aku telah memenuhi sumpahku dan menghormati perjanjian-Ku, maka bersaksilah buatku di hadapan Tuhanmu pada hari kiamat." 

"Al-Yameen": sebelah kanan manusia dan lain-lainnya. "Al-Yumna": bertentangan dengan "Al-Yusra" (sebelah kiri). "Yaman": negara Arab dan salah satu daripada negara-negara Semenanjung Arab, yang terletak di antara laut merah, Kerajaan Arab Saudi dan Aden, yang termasuk di dalamnya beberapa pulau-pulau di laut merah. Jumlah penduduknya 4 atau 5 Juta, yang meliputi pantai Tihamah yang dibanjari oleh pergunungan Yaman dan Injad yang terkenal kerana kesuburan dan limpahan airnya. Disebabkan ini juga mengapa Yaman telah dinamakan pada masa lalu sebagai "Fortune of Arabia". Ibu negaranya adalah "Sanaa" dan penduduknya digelar di dalam bahasa Arab sebagai "Yamani" atau "Yamaan" (Yaman) tanpa menekankan huruf "m" untuk meringankan sebutan. Oleh itu, kita menambah "a" di tengah-tengah perkataan dan bukannya "i" yang disifatkan pada akhir perkataan kerana mereka tidak boleh bergandingan bersama di dalam satu perkataan menurut bahasa Arab. Walau bagaimanapun, ada juga yang mengatakan "Yammani" dengan menekankan "m" yang diambil dari Sibawayh. 

Adapun Hadis [Iman adalah Yamaan dan Kebijaksanaan adalah Yamani], dikatakan bahawa Rasulullah (sawas) menyatakan demikian kerana Iman bermula dari "Mekah" yang berada di "Tihamah" yang terletak di tanah "Yaman"; Disebabkan ini juga Kaabah dikenali sebagai "Kaabah Yamani." Tambahan lagi, dikatakan bahawa Rasulullah (sawas) menyebutkan hadis ini ketika baginda berada di Tabuk di mana Mekah dan Madinah memisahkan baginda dari Yaman. Ketika menyebutkan Hadis ini, baginda menuding ke arah Yaman bermaksud Mekah dan Madinah, dan dikatakan juga bahawa dia telah merujuk kepada Ansar-ansar kerana mereka adalah Yamani dan menyokong keimanan, membantu dan mengalu-alukan orang-orang yang beriman, maka dinasabkan keimanan dengan mereka. 

"Al-Yumn": Berkat. Seseorang mungkin membawa berkat kepada kaumnya; Beliau adalah "Maymun" yang melalui dia mereka diberkati. Sebagaimana ungkapan Arab "Tayamantu bihi" bermakna "Saya telah diberkati olehnya." Telah diceritakan bahawa "Nabi (sawas) amat gemar menerima berkat seberapa banyak yang mungkin". "Tayamun" dikenali umumnya sebagai perbuatan yang diberkati dengan sesuatu dan ianya berasal dari perkataan "Yumn" yang bermaksud "berkat". Pengertian yang dimaksudkan adalah "untuk memulakan dengan sesuatu yang paling diberkati ..." 

Selain itu, Mekah adalah di Tihamah yang terletak di bumi Yaman dan penduduk Mekah adalah juga Yamani (berasal dari Yaman). Ianya amat signifikan bahawa Rasulullah (sawas) adalah penduduk Mekah, sekali gus dia juga Yamani seperti yang disebut dalam Hadis berikut: 

• Diriwayatkan daripada Salim bin Qays al-Hilali, berkata: Apabila kami kembali dari Siffin dengan Amirul Mukminin (a.s), beliau tinggal berhampiran sebuah biara Kristian.Kemudian, Sheikh ... dari keturunan hawari Isa Ibni Mariam datang kepada kami ... dan berkata: “bersamaku catatan Isa anak Maryam dan tulisan bapa kami... Allah swt akan mengutuskan seorang lelaki Arab, keturunan Ismail bin Ibrahim Khalil Allah, datang dari tempat yang dipanggil Tihamah dan sebuah kampung yang bernama Mekah. Dia akan dipanggil Ahmed dan akan mempunyai dua belas nama. Dia kemudian menyebutkan utusan, kelahiran, hijrah, pejuang, penyokong, musuh, cara hidup dan pengalaman umatnya selepas pemergiannya dari dunia ini, sehinggalah diturunkan Isa Ibni Mariam dari langit.” Dalam kitab ini, 13 lelaki disebut sebagai dari keturunan Ismail, anak kepada Ibrahim Khalil Allah. Mereka adalah sebaik-baik makhluk dan amat dicintai Allah. Allah akan setia kepada orang-orang yang setia kepada mereka dan akan menunjukkan permusuhan kepada musuh-musuh mereka.][v]

Sajak berikut disifatkan kepada Amirul Mukminin (a.s): 

Aku adalah budak Quraisy yang dipercayai, 
Dikenali dengan kemurahan hati dan kehormatan yang tinggi, 
Kuat seperti singa dengan otot-ototku yang jelas, 
Denganku tuan-tuan Yaman berpuas hati, 
Biarpun mereka penduduk Najad atau orang Aden. 

Puisi ini adalah nyata dan tiada penjelasan lanjut diperlukan: Najad dan Aden kedua-duanya adalah di Yaman. 

• Diriwayatkan dengan otoriti Rasulullah (sawas) sambil memuji Yaman: [Iman adalah Yamani dan Kebijaksanaan adalah Yamani, dan kalaulah tidak kerana hijrah, saya akan menjadi seorang lelaki dari penduduk Yaman.] Dalam satu lagi hadith, Nabi Muhammad (sawas) bersabda: [lelaki terbaik adalah orang-orang Yaman. Iman adalah Yamani dan aku adalah Yamani. Pada hari kiamat, bilangan terbesar kabilah yang akan melangkah ke syurga adalah dari suku Mazhaj.

Penjelasan: Rasulullah saw berkata demikian kerana Iman bermula dari Mekah, yang terletak di Tihamah, yang terletak di tanah Yaman. Inilah sebabnya mengapa Kaabah itu dikenali sebagai "Kaabah Yamani". 

Al-Jawhari berkata: Yaman adalah negara Arab dan penduduknya dipanggil "Yamani" atau "Yamaan", yang yang diringankan sebutannya bagi disifatkan kepada Yaman. Huruf "a" di tengah-tengah perkataan ditambah bukan "i" yang disifatkan pada akhir perkataan kerana kedua-dua huruf ini tidak boleh bergandingan bersama di dalam satu perkataan bahasa Arab. Sibawayh dan beberapa yang lainnya memilih untuk menekankan dua "m" menjadi "Yammani". 

Saya katakan: Al-Fayruz Abadi berkata: Bantuan Tuhanmu datang dari Yaman, dia memaksudkan orang-orang yang akan membantunya adalah dari kalangan penduduk Madinah: pendokong dan tuan rumah dari Yaman.[vi]

Sepertimana Abu Abdullah, Hudhayfah Bin Al-Yamaan: asal nama "Al-Yamaan" dari Hisl atau Husseil, tetapi beliau dinamakan Al-Yamaan kerana dia telah melakukan pembunuhan dan melarikan diri ke Madinah di mana beliau menjadi sekutu orang Abdul Ashhal. Oleh itu, kaumnya menggelar beliau "Al-Yamaan" kerana dia menjadi sekutu pada orang Yaman. Ianya jelas kemudiannya bahawa Al-Yamaan melarikan diri ke Madinah dan tidak ke Yaman.[vii]

Sesetengah riwayat menyebut bahawa Kabah disebut sebagai "Kiblat Yamani", manakala riwayat yang lain pula menyebutkan bahawa ia dipanggil "Kaabah Yamani". Berikut adalah beberapa riwayat ini: 

• Dilaporkan dalam buku Manaqib Al Abi Talib, oleh Ibn Shahr Ashub, jilid 1, halaman 133, di dalam doa yang panjang menyebutkan: (...manusia pada hari perhitungan amal, pemegang kayu ajaib, (pemilik) halaman luas dan pendapat yang betul, Muhammad yang kita cintai yang belas kasihan terhadap orang-orang yang jauh dan mereka yang rapat. Tuan kiblat Yamani, kepercayaan Hanif, Syariah yang diredhai, umat yang mendapat petunjuk dan keturunan Hassan dan Hussein. Tuan Agama dan Islam, dan rumah yang suci ...

• Diriwayatkan di dalam Bihar Al-Anwar, oleh Allamah Al-Majlisi, jilid 15, halaman 310, doa yang dibuat oleh Abi Talib sebelum kelahiran Rasulullah (sawas): [...Aku bersumpah dengan Allah sebagai tempat perlindungan dan Pencipta manusia, aku tahu bahawa dialah yang diterangkan dalam kitab injil dan Taurat yang dicirikan dengan kemurahan hati dan gambaran menyenangkan, dia yang unik pada zamannya tidak lama lagi akan muncul. Malah, terdapat berita bahawa utusan Raja yang Maha Berkuasa akan dihantar pada masa ini, yang dimahkotakan dengan cahaya. Kemudian, dia pergi ke Kaabah dan semua orang mengikutinya kecuali bagi Abu Jahal yang tersentak dengan penghinaan, kemusnahan, kerendahan dan kekalahan. Apabila Abu Talib menghampiri Kabah, beliau berkata: Ya Allah, Tuhan Kaabah Yamani ini, Tuhan bumi yang luas terbentang dan gunung-ganang yang kukuh, jika Engkau sudah membuat keputusan mengenai perkara ini tetapi pengetahuan Engkau kekal tersembunyi dari kami, kami meminta Engkau untuk menguatkan penghormatan dan kebanggaan kami melalui Nabi yang diterima syafaatnya, dan yang kedatangannya telah diramalkan oleh Sateeh. Ya Allah, Tuhan kami! dedahkanlah beliau, percepatkanlah kemunculannya dan jauhkanlah kami dari tipu daya orang-orang yang menentang (kehendak Engkau), kerana Engkau Maha Pengasih Lagi Penyayang.

• Al-Juzri berkata, [Iman adalah Yamaan (dari Yaman) dan Kebijaksanaan adalah Yamani (dari Yaman)] Dia berkata: Rasulullah (sawas) hanya berkata demikian kerana Iman bermula dari Mekah yang terletak di Tihamah, dan Tihamah adalah sebahagian daripada wilayah Yaman, lantas Kabah dipanggil "Kaabah Yamani". Baginda mengatakan sedemikian kepada Ansar-Ansar kerana mereka adalah Yamani dan mendokong keimanan dan orang-orang yang beriman serta menjadi tuan rumah mereka, dan disebabkan itulah mengapa baginda menasabkan keimanan kepada mereka.[viii]

Dalam mukaddimah Bihar Al-Anwar, jilid 1, halaman 1, Allamah Al-Majlisi mengulas: 

(Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Dialah Yang meninggikan langit Ilmu, menghiasinya dengan buruj buat penonton-penonton, digantung lampu-lampu petunjuk melalui matahari-matahari Nabi dan bulan-bulan Imam bagi mereka yang ingin berjalan di di jalan keyakinan. Dia menjadikan bintang-bintangnya sebagai rejaman kepada was-was Syaitan, dan Menjaganya daripada keraguan yang menyesatkan dengan cahaya bintang yang terang benderang. Kemudian, Dia gelapkan malamnya dengan fitnah kesesatan dan menyuluh paginya dengan keterangan-keterangan bukti; Dia mempersedia dan membuka hati orang-orang yang beriman untuk memeluk taman-taman kebijaksanaan Yamani, menjadikan mereka bersedia untuk mengambil bunga rahsia ilmu Ilahi dan membawa keluar air dan padang rumput darinya...

Bihar Al-Anwar merangkumi koleksi riwayat Ahlulbayt, yang kata-kata mereka telah diterangkan oleh Allamah Al-Majlisi sebagai taman-taman kebijaksanaan Yamani. Dengan kata lain, Al-Majlisi merujuk Ahlulbayt sebagai Yamani, kerana hubungan mereka dengan Kaabah Yamani dan datuk Yamani mereka iaitu Muhammad (sawas) sepertimana yang dinyatakan dalam hadis. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah (sawas) adalah Yamani dan berakibat dari itu Ahlulbayt juga adalah Yamani, tidak kira di mana mereka tinggal di bumi Allah yang luas ini. 

Dalam perbualan rahsia antara Allah dan Isa (a.s) ketika menggambarkan Nabi Muhammad (sawas), Allah SWT berfirman: [...Wahai Isa, agamanya akan menjadi agama Hanif dan kiblat Yamani...].[ix]

Oleh itu, jika seseorang mengatakan bahawa "Al-Yamani" berasal dari perkataan Arab "Yumn" yang bermaksud kemakmuran dan berkat, maka datuk mereka Al Mustafa (yang terpilih) adalah "maymoon" (baginda adalah seorang yang diberkati) dan tiada siapa lebih patut mendapat penghormatan selain baginda di kalangan semua manusia. Malah, Hadis menyebut bahawa Ahlulbayt (a.s) berdiri di sebelah kanan Allah dan mereka adalah pemberi keberkatan kepada alam dunia, yang Dia ciptakan (dunia ini) remeh berbanding dengan Kerajaan Syurgawi; di mana tidak ada orang yang diberkati atau orang yang dimakmuri itu menjangkaui atau mengatasi kemakmuran dan keberkatan mereka, kerana mereka adalah ulama-ulama yang lebih digemari Allah berbanding nabi-nabi (a.s). Dalam hal ini, dibawakan satu Hadis yang berkaitan: [Ulama-ulama umatku adalah seperti nabi-nabi Bani Israel][x]; tetapi ia bukanlah seperti yang difahami oleh sesetengah penyamar kedudukan keturunan Muhammad bahawa hadith ini disifatkan kepada selain daripada maksumin (a.s). 

• Ibrahim Bin Hashim meriwayatkan daripada Yahya Bin Abu Omran, daripada Yunus, daripada Jameel: Aku mendengar Abu Abdullah (a.s) berkata: [manusia akan dibahagikan kepada tiga golongan: ulama, yang berpendidikan dan buih; kami adalah ulama, Syiah kami adalah yang berpendidikan, dan manusia lainnya adalah buih].[xi]

Sehubungan itu, ulama-ulama adalah salah satu Syiah mereka dan maka mereka adalah golongan yang mendapat pencerahan dari Hadis-hadis mereka (a.s). Sebaliknya ulama-ulama akan menjadi buih dan dalam riwayat yang lain menyebutkan sebagai orang-orang jembel yang tidak keruan. Para ulama adalah keluarga Muhammad (a.s), mereka adalah lebih baik daripada Nabi-Nabi Bani Israil, kerana kedudukan mereka di sebelah kanan Allah. Jika tidak, mana-mana orang yang waras akan percaya bahawa bukan maksum dan saya maksudkan ulama-ulama hari ini yang membenamkan diri mereka dgn rakus dalam kehidupan dunia adalah lebih baik daripada nabi-nabi Allah yang dikurniakan dengan keazaman dan kesabaran?! Hukum sepertimana yang dinyatakan (a.s) adalah: "Kami adalah ulama" dan perkara terbaik yang seseorang boleh capai adalah berpegang teguh kepada jalan mereka (menjadi salah seorang Syiah mereka) supaya dia dapat belajar daripada mereka (a.s), atau dengan kata lain berpegang kepada riwayat-riwayat mereka tetapi dia tidak pernah sama dengan mereka. Adapun bagi mereka yang tidak termasuk di kalangan Syiah mereka yang belajar, maka mereka adalah orang-orang jembel. Imam (a.s) yang menetapkan bahawa mereka adalah "buih" iaitu orang-orang yang menghukum mengikut pendapat mereka sendiri dan orang-orang jahil yang berkeliaran di dalam daki ilmu pengetahuan. 

• Dikatakan juga bahawa Yaman mendapat namanya daripada kemakmuran dan untung baik (Yumn) dan bahawa Sham mendapat nama kerana petanda jahat (Shu'mh).[xii]

• Diriwayatkan daripada Abu Suleiman penjaga Rasulullah (sawas), berkata: Aku mendengar Rasulullah (sawas) berkata: [Pada malam itu aku telah diangkatkan ke langit, Yang Maha Agung memberitahuku: ... wahai Muhammad, Aku memandang ke Bumi dan memilih kamu ... wahai Muhammad jika salah seorang dari hambaKu terlampau memujaKu sehingga dia menjadi seperti kain kasar dan kemudian datang kepadaKu tanpa memperdulikan wilayahmu, maka Aku tidak akan memaafkan dia sehingga dia mengakui wilayahmu. Adakah kamu ingin melihat mereka, wahai Muhammad? Aku berkata: Ya, wahai Tuhan. Kemudian Dia menjawab: Lihatlah sebelah kanan Arasy. Jadi aku lakukan demikian dan mereka adalah: Ali, Fatima, Al-Hassan, Al-Hussein, Ali bin Al-Hussein, Muhammad bin Ali, Jafar bin Muhammad, Musa bin Jaffar, Ali bin Mussa, Muhammad bin Ali, Ali bin Muhammad, Hassan bin Ali dan Al-Mahdi, kesemua mereka berdiri solat dalam kabus cahaya; di tengah-tengah mereka berdiri Al-Mahdi seumpama sebuah planet yang berkilauan. Dia berkata: Wahai Muhammad, mereka adalah Hujjah-Hujjah (bukti dan kekuasaan Allah) dan ini adalah penuntut bela dari keturunanmu, kebanggaanKu dan penghormatanKu, kerana dia adalah Hujjah di hadapan Awliya-Ku dan penuntut belaKu terhadap musuh-musuhKu.][xiii]

• Rasulullah (sawas) berkata: [...Dia telah menciptakan segala sesuatu, kesemuanya adalah gelap gelita, jadi Dia menerangi mereka dengan cahayaku dan juga Ali. Kemudian, Dia meletakkan kami di sebelah kanan Arasy dan menciptakan malaikat-malaikat. Maka kami memuji dan begitu juga malaikat memuji, kami mengakui Keesaan Allah dan malaikat juga melakukan perkara yang sama...][xiv]

• Dia (SAW) juga berkata: [Ali bin Abi Talib dan aku datang dari cahaya Allah di sebelah kanan Arasy; kami telah memuji dan mensucikan-Nya selama 14000 tahun sebelum Allah swt menciptakan Adam.][xv]

Riwayat terdahulu menerangkan maksud di sebalik figur Al-Yamani yang mendahului Imam. Adakah ianya untuk menegakkan fakta bahawa dia adalah dari Yaman? Keturunan Muhammad (a.s) adalah Yamani sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kerana mereka adalah dari Mekah, yang terletak di Tihamah, yang merupakan dataran pantai sempit yang terbentang dari Semenanjung Sinai di utara ke batas Yaman di selatan, yang terdiri dari bandar-bandar (Najran), (Mekah), (Jeddah) dan (Sana'a), seperti yang disebutkan di dalam Majma 'al-Bahrain, muka surat 583. Perlu diperhatikan juga bahawa keturunan Rasulullah (a.s) merebak pada masa kini bertebaran melata di bumi Allah yang luas. Oleh itu, kita sedar bahawa nama "Al-Yamani" tidak merujuk kepada kewargenaraan seseorang kepada negara Yaman atau mana-mana tanah lain, kerana jika ia bermakna warganegara Yaman secara tetap, maka seharusnya juga meletakkan bahawa As-Sufyani juga adalah warganegara bagi sebuah negara yang dipanggil Sufyan?! 

Tambahan lagi, Rasulullah (sawas) berkata: [... Iman adalah Yamaan (dari Yaman) dan aku adalah Yamani (dari Yaman)

Oleh itu, tidak disyaratkan kepadanya untuk menjadi penduduk kepada negara Yaman apabila dia muncul, bahkan disyaratkan mempunyai hubungan dengan Rasulullah atau mana-mana kaum yang tinggal di Tihamah pada masa itu, untuk benar-benar membuktikan bahawa dia adalah Yamani (dari Yaman). Wajib kita melihat petunjuk-petunjuk dan tanda-tanda lain-lainnya untuk mengenal pasti figur Al-Yamani, kerana akhirat kita bergantung kepadanya di era kezuhuran yang suci. Panji Al-Yamani adalah panji Kebenaran yang unik, dan Kebenaran itu dicari oleh setiap orang beriman yang takut kepada Allah dan tidak mahu memberontak menentang Al-Yamani. Malah, dia yang memberontak terhadapnya akan dihumbankan ke dalam api neraka. Sepertimana 'Awliya Allah adalah dari Yaman, maka yang disingkirkan juga adalah dari Yaman juga. 

Jika yang dimaksudkan dari "Al-Yamani" tidak merujuk kepada negara (Yaman), tetapi kepada sifat "maymoon" (dalam pengertian seseorang yang diberkati). Maka di sini tidak disyaratkan kepada lokasi, tetapi dengan ciri-ciri peribadi itu sendiri dan kedekatan dirinya kepada Allah dan Imam Al-Mahdi (a.s), kerana Muhammad dan Ahlulbaytnya berdiri di sebelah kanan Arasy, sepertimana yang dinyatakan dalam riwayat. Walau bagaimanapun, jika ia merujuk kepada sifat "maymoon" (dalam pengertian seseorang yang beruntung), maka dia adalah seorang yang beruntung di dalam memimpin tentera Imam Al-Mahdi (a.s). Dan dengan itu, sifat yang paling betul untuk digunakan apabila merujuk kepada tokoh Al-Yamani adalah "Yameen" (tangan kanan) Imam. 

"Al-Yameen" adalah tangan kanan yang mana Dia memuliakan para AwliyaNya dan menentang musuh-musuh-Nya, sepertimana yang disebut dalam hadis: [Batu Hitam (Hajar Al Aswad) adalah "Yameen" (tangan kanan) Allah, yang Dia memuliakan sesiapa jua yang Dia mahu dari hamba-hambaNya.] Dikatakan bahawa: Ini adalah metafora dan perumpamaan. Ianya berasal dari fakta bahawa jika seseorang raja memuliakan seseorang, maka orang tersebut hendaklah mencium tangannya, seolah-olah Batu Hitam (Hajar Al Aswad) mempunyai status yang sama seperti tangan kanan raja, kerana ia disentuh dan dicium. Justeru, ia telah disamakan dengan "Yameen" tangan kanan.[xvi]

Dalam hal ini, maksud berikut adalah terpakai iaitu tangan kanan dicirikan dengan kuasa: dan dengannya berlaku kekerasan. Allah SWT berfirman: {Lalu dia memukul dengan tangan kanannya}[xvii] dalam erti kata lain, tangan kanan-Nya menunjukkan kuasa dan keupayaan.[xviii]

Selain itu, mereka (a.s) juga berkata bahawa orang di sebelah kanan mempunyai keutamaan dan kelebihan berbanding seseorang di sebelah kiri. 

Diriwayatkan daripada Abu Muhammad (a.s): Sebab di sebalik wahyu firmanNya: [Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril[xix] ... kemudian berkata bahawa Jibril duduk di sebelah kanan dan Mikail pada sebelah kiri. Jibril merasa bangga terhadap Mikail kerana dia duduk di sebelah kanan Ali (a.s), yang mana adalah lebih baik daripada duduk di sebelah kiri. Dia bangga akan dirinya, sebagaimana layaknya sahabat raja besar di dunia apabila raja mendudukkan dia di sebelah kanannya, sedangkan sahabat- sahabat lain di sebelah kiri kerusi rajanya. Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka merasa bangga diri terhadap Israfil yang berkhidmat di belakang, dan terhadap malaikat maut yang berdiri di hadapan. Berdiri di sebelah kanan atau kiri lebih mulia dan kedua-dua mereka bangga kerana pendamping raja akan menjadi lebih dekat kepada rajanya.][xx]

Sebuah ikrar dan perjanjian diambil dengan tangan kanan (Al-Yameen) sebagaimana Batu Hitam (Hajar Al Aswad) Rukun Iraqi di Kaabah, yang banyak riwayat menyebut bahawa jemaah menyentuh dan mencium semasa ibadah haji mereka . Selain itu, telah diriwayatkan bahawa ianya adalah medium antara Allah dan hamba-hambanya dan bahawa ia adalah saksi kepada orang-orang yang memberi bai'ah. Sebagaimana halnya Al-Yamani yang datang sebelum Imam Al-Mahdi (AS) adalah medium antara Imam (AS) dan rakyat, dan dia adalah orang yang mengambil bai'ah, ikrar dan janjinya daripada rakyat. Beliau juga merupakan "Yameen" (tangan kanan) Imam dan pintu Syurga melalui mana orang datang dalam, manakala Imam adalah Syurga. Orang pergi ke syurga melalui pintu. 

Rasulullah (sawas) bersabda: [Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Oleh itu, sesiapa yang mahu memasuki kota tersebut hendaklah memasuki melalui pintunya][xxi], dan barangsiapa yang berpaling dari pintu ini, iaitu mahukan pengganti lain untuk itu hendaklah dianggap sebagai seorang pencuri yang tergolong dalam kalangan ahli neraka. Oleh kerana itu, baginda (a.s) bersabda mengenai washi Al-Yamani: [sesiapa yang memberontak terhadapnya adalah tergolong dari kalangan ahli neraka], kerana dia adalah pintu ke syurga. 

Dalam Kitab 'Jaami’ As-Saadat, jilid 3, halaman 314, telah disebutkan bahawa: 

Semasa menyentuh atau mencium Batu Hitam (Hajar Al Aswad), seseorang perlu ingat bahawa ia mempunyai status tangan kanan Allah (Yameen) di bumi dan ia mengarah kepada perjanjian yang dibuat hambaNya. Rasulullah (sawas) bersabda : [Sentuh atau ciumlah Rukun kerana ia adalah tangan kanan (Yameen) Allah di bumi-Nya, yang dengannya Dia memuliakan makhlukNya sebagai hamba yang mulia atau penceroboh dan menerima sesiapa sahaja yang menyentuh atau menciumnya.] Apabila mengatakan "Rukun", baginda (sawas) memaksudkan: Batu Hitam (Hajar Al Aswad) kerana ia diletakkan di situ. Dan baginda membandingkannya dengan "Al-Yameen" (tangan kanan) kerana ia adalah medium antara Allah dan hamba-hamba-Nya dalam perkara-perkara seperti perolehan, pencapaian, kasih sayang dan keredhaan, sama seperti apa yang tangan kanan lambangkan apabila berjabat tangan. 

As-Sadiq (a.s) berkata: [Apabila Allah, yang disifatkan segala kesempurnaan dan keagungan, mengambil perjanjian orang-orang yang beriman, Dia mengarahkan Batu Hitam (Hajar Al Aswad) untuk menelan perjanjian mereka. Maka ia telah berkata: Aku telah memenuhi sumpahku dan menghormati perjanjianku, oleh itu, bersaksilah bahawa aku menepati janjiku]. 

Dia (a.s) berkata: [Sudut (Rukun) Yamani adalah salah satu pintu ke syurga yang tidak pernah ditutup oleh Allah sejak dia membukanya]. 

Dia (a.s) juga menambah: [Sudut Yamani (tunggak dan sokongan Imam Al-Mahdi) adalah pintu kami ke syurga yang di dalamnya mengalir sungai, yang mana perbuatan-perbuatan hamba dicampakkan.

Saya berpendapat: Batu Hitam (Yamani) yang mengambil perjanjian menjadi saksi kepada setiap orang yang berjanji setia, adalah serupa dengan washi (Al-Yamani) yang mengumpul bai'ah kepada Imam Al-Mahdi (a.s) dan menjadi saksi kepada mereka yang memenuhi komitmen mereka dan menghormati ikrar mereka. Allah SWT berfirman: {dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.}[xxii]

Adapun berkenaan katanya: “Sudut Yamani (Rukun Al Yamani) adalah salah satu pintu Syurga yang Allah tidak pernah menutupnya sejak Dia membukanya,” menunjukkan bahawa Sudut Yaman dan Batu Hitam mengarahkan kepada figur Al-Yamani. Isu Al- Yamani hadir dalam semua panggilan ilahi yang mampu untuk memimpin manusia atau Ummah, kedua-duanya pada tahap intelektual dan ketenteraan. Isu washi dan ketaatan kepadanya adalah halangan yang menyekat kebanyakan manusia yang hidup di masa panggilan dakwah Ilahi, dan sekaligus menderhaka kepada Hujjat (bukti dan kekuasaan Allah) pada zamannya. Manusia berharap untuk mendapatkan washi dan wasiat lain; ini adalah seumpama seseorang yang berpaling daripada kiblat dan mengambil agama lain, kerana Hujjat adalah kiblat di hadapan manusia. Oleh itu, saya bertanya kepada anda, adakah anda pernah melihat seseorang bersembahyang dengan kiblat di belakangnya? 

Diriwayatkan daripada Ali Bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu Umayr, dari Ibn Uzaynat, dari Al-Fuzail, dari Abu Jaafar (a.s), berkata: [Beliau melihat manusia yang Tawaf mengelilingi Kaabah dan berkata: “mereka sering bertawaf seperti itu semasa era pra-Islam (Jahiliyah) tetapi kemudian, mereka telah diperintahkan untuk tawaf dan berlari ke arah kami untuk memberikan bai'ah, memberitahu kami kecintaan mereka dan menawarkan sokongan mereka. Kemudian dia membaca ayat yang berikut: {Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka}][xxiii]

Maksudnya di sini adalah untuk lari ke arah Hujjat (bukti dan kekuasaan Allah) pada zamannya, berbai'ah serta menawarkan kesetiaan, kasih sayang dan sokongan kepadanya. Di sepanjang sejarah kesemua panggilan dakwah Ilahi, washi adalah ujian. Sesungguhnya, sesiapa yang tidak menerima washi bermakna dia juga tidak menerima orang yang melantik washi tersebut, walaupun dia menunjukkan penerimaannya, sepertimana kes Harun (a.s) atau Amirul Mukminin (a.s). Maka barangsiapa yang tidak menerima Ali (a.s), maka dia telah menafikan Muhammad (sawas) dan barangsiapa yang tidak menawarkan cinta, sokongan dan bai'ahnya kepada Ali (a.s) tidak akan mendapatkan hajinya melainkan kesengsaraan. Hadis yang disebutkan di atas menyatakan bahawa ibadah haji bermaksud menerima Hujjat yang dilantik oleh Allah dan RasulNya pada zamannya; jika tidak, Tawaf tanpa penerimaan bai'ah adalah seperti Tawaf semasa era Jahiliah. 

Riwayat Ahlulbayt (a.s) di masa Kezuhuran menyebut supaya memberi bai'ah kepada Al-Yamani. Tatkala ianya thabit di sisi Hadis Rasulullah (sawas) dan Ahlulbayt (a.s) samada di sisi Sunni atau Syiah mengenai kepentingan figur Al-Yamani bagi membuka jalan untuk khalifah teragung yang dilantik oleh Allah. Kita harus fokus dan bertanya tentang "Yamani" (dari Yaman) dan "Yameen" (tangan kanan) Imam Al-Mahdi (a.s). Adakah perlu untuk menentukan figur ini dan membezakannya dari pelbagai figur yang mendahului Imam Al-Mahdi (a.s)? Kita perlu melihat dengan teliti kata-kata Ahlulbayt (a.s) yang dinasabkan ke atas kita, menjaga hubungan antara langit dan bumi, serta berpegang kepadanya dalam usaha untuk kekal selamat dari kesesatan. Isu ini telah disebutkan oleh Rasulullah (sawas) yang juga menyifatkan dua imbangan (thaqolayn) sebagai cara untuk kekal selamat dari kesesatan buat sesiapa jua yang berpegang kepada keduanya. Manakala bagi mereka yang membuat penambahan kepada keduanya dan membuat perkara-perkara lain sama dengan keduanya atau menjadikannya empat bukannya dua dengan berkata: Al-Quran, Itrah, akal dan ijma’, maka saya katakan kepada mereka bahawa sebaik-baik ganjaran dan pembalasan itu hanyalah bagi Allah dan kita akan mendapati pada hari kiamat nanti sama ada Rasulullah (sawas) berkata dua imbangan (thaqolayn) atau empat. 


________________________________________________

[i] Surah As Saafaat 37: 93 
[ii] Surah As Saafaat 37: 28 
[iii] Surah Al Haaqah 69: 45 
[iv] Surah Al A’raaf 7: 171 
[v] Al Ghaybah Al Nu’mani, ms 74 
[vi] Mustadrak Safinat Al Bahar, Syeikh Ali Al Namazi, jilid 1, ms 601 
[vii] Al Ihtijaj, jilid 1, ms 185 
[viii] Bihar Al Anwar, jilid 22, ms 137 
[ix] Al Kafi, jilid 8, ms 139 
[x] Bihar Al Anwar, jilid 2, ms 22 
[xi] Bashair Al Darajat, Muhammad bin Al Hasan Al Safar, ms 28 
[xii] Taj Al Urus, jilid 9, ms 371 
[xiii] Al Tharaif, Syed Ibn Tawoos Al Hasani, ms 173 
[xiv] Ghayat Al maram, Syed Hashim Al Bahrani, jilid 1, ms 48 
[xv] Ghayat Al maram, Syed Hashim Al Bahrani, jilid 1, ms 27 
[xvi] Majma’ Al Bahrain, jilid 4, ms 583 
[xvii] Surah As Saafaat 37: 93 
[xviii] Majma’ Al Bahrain, jilid 4, ms 582 
[xix] Al Baqarah: 97 
[xx] AL Ihtijaj, jilid 1, ms 47 
[xxi] ‘Uyun Akhbar Al Ridha (a.s), jilid, ms 210 - 211, Kanzul Umal, jilid, ms 148. 
[xxii] Surah Al Isra’: 34 
[xxiii] Al Kafi, jilid 1, ms 392



3 ulasan:

  1. aku tengok lemahnya kelompoknii..

    kena tulis dan tulis..dakwa dan dakwa jee....karangan demi karangan pastu buat andaian dari hadits..

    mana fakta2nya..siapa imam tu? mana orang nya..apsal boleh main kait2 je..pelik nya...

    mimpi2..mcm ajaran Buddha...dan Hindu..ajaranSikh pun main mimpi2 jee

    BalasPadam
  2. kitab punya la banyak dok kait dan kait dan kait..lemah sangat ke orangyg dakwa tu...sampai kena cari dalam2 sana sini..campur aduk nukil sana nukil sini..nk paksa orang faham..and banyak yg kontradik ..??

    blur2..ajaran niii

    BalasPadam
  3. ajaran Buddha n Guru nana Sikh pun ada gurunya berani tunjuk muka ...bahaya ni dakwa sana sini..
    dan berapa kilo kitab dah yg ditulis dianalisa pastu buat andaian dn andaian yg orang lai semua salah...

    so..apa hasil nya...mana orang nya..nk juga berkenalan..percaya dari mulut ke mulut ke mlulut..

    pastu dok dengar je kisah pemimpin yg hanya wujud dlaam tulisan dn karangan dan note kitab2 di nukil kat situ la kat sini laa...:0 perkkkhhh kasihan sangat golongan ni desperate nk menang pilpres mcm jokowi dan prabowo agaknya...kesiannya..

    BalasPadam