MUKADIMAH
Berikut adalah sebahagian teks yang diambil dan diterjemah dari kitab “Al ‘Ijl” karangan Imam Ahmad Al Hassan (a.s), Al Yamani yang dijanjikan sebelum kebangkitan Imam Mahdi (a.s) dan Mahdi pertama yang disebutkan dalam hadis wasiat Rasulullah (SAWA). Teks ini membicarakan penyelewengan yang telah dilakukan oleh ulama-ulama atau fuqaha’ akhir zaman terhadap agama Islam yang suci. Ianya ditujukan khusus buat-buat ulama-ulama Syiah aliran Usuli yang membentuk majoriti umat Syiah pada masakini. Teks ini tidak bertujuan mempertahankan aliran Akhbari yang menjadi seteru kepada aliran Usuli. Tetapi ianya adalah satu usaha murni ke arah menegakkan kebenaran sepertimana yang dikehendaki oleh Allah, rasulNYA (SAWA) dan para Imam Ahlulbayt (a.s). Ia juga bagi mencegah kebathilan yang berpunca daripada perbuatan mereka (ulama-ulama akhir zaman) meletakkan Akal sebagai salah satu dalil pensyariatan dan seterusnya menghalalkan taqlid selain daripada Imam Maksumin (a.s).
MENGAPA KAMU MENGHARUSKAN PENGGUBALAN HUKUM SYARIAT BERDASARKAN DALIL AKAL?
Kamu telah mengubah Agama Allah dengan menyekat kekuasaan Imam (a.s) dan melantik diri kamu sebagai pembuat hukum syariat. Adakah ini dengan arahan Allah atau kamu mengada-adakan sesuatu atas nama Allah? Apakah wujud kekurangan dalam agama ini sehingga memerlukan kamu?
Daripada Imam Imam Sadiq (a.s): “Sesungguhnya pengamal-pengamal Qiyas menuntut ilmu berdasarkan Qiyas, namun Qiyas tidak mendekatkan mereka kepada kebenaran melainkan semakin jauh darinya. Sesungguhnya Agama Allah itu tidak dapat dicapai dengan Qiyas.”[1]
Selepas kewafatan Nabi (SAWA), umat Islam merujuk kepada wasi-wasi (imam-imam) untuk mengetahui hukum-hukum syariat yang tidak jelas pada mereka atau bila berhadapan dengan perkara baharu di sepanjang zaman. Tetapi sekelompok muslimin telah menyeleweng daripada wasi-wasi (a.s), dan tidak mengambil hukum daripada mereka (a.s), mereka adalah dari kelompok Ahlus Sunnah. Masa berlalu di sisi mereka, di mana mereka telah menggubal kaedah rasional (akal) yang bersandarkan kaedah mantiq (logik akal). Mereka bergantung dengan kaedah ini bagi mengeluarkan sebahagian hukum-hukum syariat dan menggelarnya Usul Fiqh. Namun sebahagian ulama mereka menolak kaedah ini dan terus beriltizam dengan Al Quran dan hadis-hadis sahih di sisi mereka yang diambil dari Nabi (SAWA).
Adapun bagi Syiah mereka sentiasa merujuk kepada para Imam yang maksum (a.s) selepas Nabi (SAWA). Semasa berlakunya Ghaibah Kecil (sughro) mereka telah merujuk kepada wakil (safir) Imam (a.s), dan ketikamana berlakunya Ghaybah Utama (Kubro) mereka telah merujuk kepada ahli-ahli Feqah (ulama) yang meriwayatkan daripada Maksumin (a.s). Namun setelah berlalunya masa sebahagian ulama Syiah mula merujuk kepada kaedah-kaedah rasional yang dimulakan penulisannya oleh ulama Ahlus Sunnah. Dikatakan bahawa orang pertama yang menulis berkenaan kaedah-kaedah rasional di kalangan Syiah adalah Allamah Hilli (r.a), bilamana dia membuat ringkasan salah satu kitab Ahlus Sunnah di bidang Usul Fiqh. Seterusnya menyebabkan berlaku perbezaan pendapat yang besar di kalangan ulama Syiah selepas itu, iaitu samada cukup dengan hukum-hukum Muhkamat di sisi Al Quran dan hadis-hadis yang diriwayatkan daripada maksumin (a.s) dalam mengeluarkan hukum Syariat atau diharuskan menggunakan dalil akal dan sebahagian yang lain pula menambahkan “Ijmak”.
Setiap mereka mempunyai dalil tersendiri bagi mengesahkan jalan yang mereka pegang:
1. Dalil mereka yang mengatakan Akal sebagai dalil pensyariatan:
Tidak diwajibkan berhenti pada perkara Muhkamat di dalam Al Quran dan Hadis sahaja:
a. Pencipta Syariat iaitu Allah SWT adalah daripada “kelompok Yang Berakal” (sepertimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama usuli). Maka, apa sahaja yang bertepatan dengan orang-orang yang berakal (intelektual) akan diakui oleh Pencipta Syariat.[2]
b. Syariat itu adalah bertepatan dengan akal, maka setiap apa yang elok pada akal, maka syariat akan menggalakkannya. Setiap apa yang dibenci oleh akal akan ditegah Syariat daripada melakukannya.
c. Menahan daripada mengeluarkan fatwa dalam perkara syubhat mengakibatkan kesukaran, kerana beramal dengan berhati-hati (ihtiyat) menjadi kesukaran kepada mukallaf, contohnya solat Qasr dan penuh, atau hari puasa dan qadhanya.
d. Menahan diri daripada mengeluarkan fatwa ketika tidak wujud riwayat atau ayat yang muhkam (pasti) menyebabkan jumud atau bekunya Syariat dan syiarnya tidak berkembang. Terlalu banyak perkara-perkara baru khususnya di dalam perkara muamalat, seperti bayi tabung uji, urusan perbankan, kewangan yang pelbagai, teknik DNA manusia atau haiwan dan sebagainya.
2. Dalil-dalil yang mewajibkan berpegang teguh kepada riwayat-riwayat dan ayat-ayat Muhkamat.
Menahan diri daripada mengeluarkan fatwa dalam perkara syubhat (kesamaran) dan baharu, yang tidak terdapat dalil naqli (Al Quran dan Hadis) dan berhati-hati dalam beramal dengannya:
a. Akal adalah hujah tersembunyi (batin), sepertimana yang diriwayatkan daripada Ahlulbayt (a.s).[3] Dengan akal dibuktikan kewujudan Pencipta. dengannya jugalah diketahui percanggahan riwayat-riwayat, diketahui dalil setiap satu daripadanya, difahami ayat-ayat dan diketahui samada ianya kesamaran (mutasyabih) atau pasti (muhkam). Maka tidak terdapat sebarang pertentangan dalam hal ini. Adapun pertentangan adalah ke atas perletakan kaedah rasionalisi pada perkara yang tiada riwayat, bagi mengeluarkan hukum Syariat kerana ia adalah penyembahan hamba kepada hamba[4]. Dengan cara inilah kita kembali kepada Haam, Bahirah dan Saaibah[5] seperti di zaman jahiliyyah. Dan kembalinya kita kepada pengharaman dan penghalalan ulama-ulama yahudi berdasarkan hawa nafsu dan penilaian akal mereka. Dan beginilah juga caranya kita mengakui kebathilan undang-undang ciptaan manusia yang digubal oleh para penindas dan penzalim.
b. Kesepakatan orang yang berakal seperti yang didakwa adalah tidak wujud.[6] Ini kerana sebahagian kaedah rasional tidak terlepas dari percanggahan usul di kalangan ulama usuli sendiri. Maka bagaimana kita mampu berpegang dengannya untuk mengeluarkan hukum-hukum syariat, lebih-lebih lagi beranggapan bahawa Maha Suci Pencipta Syariat daripada “kelompok Berakal” adalah tidak benar.[7]
c. Sebahagian perkara yang ditegah olehnya Pencipta Syariat jelas dibencinya, maka akal menghukum dengan kebenciannya. Tetapi terdapat banyak perkara yang tidak jelas kebaikan dan keburukan secara luarannya, maka semestinya dikenali akan hakikat sebenar perkara-perkara tersebut untuk mengetahui yang baik daripada yang buruk. Dan tidak diketahui hakitat sebenar sesuatu perkara melainkan Penciptanya serta mereka yang Allah kehendaki untuk mengetahuinya. Sebahagian perkara kita yakini keburukannya tanpa kita kenali hakikat dan batinnya. Kita seringkali berpuashati dengan percanggahan hakikatnya disebabkan kecenderungan, situasi dan ikutan masyarakat yang menganggapnya sebagai undang-undang Ilahi yang diharamkan mencerai-beraikannya. Allah SWT berfirman: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”[8] Sebahagian perkara yang lain pula pada kebaikan dan keburukan yang bersetuju dan bertentangan tetapi salah satu melebihi yang lainnya. Firman Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfa’at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfa’atnya."[9] Oleh itu sekiranya kita berpendapat kebaikan dan keburukan itu dapat difahami oleh akal-akal, tetapi dari segi perlaksanaan kedua-dua mafhum ini ke atas perkara-perkara yang wujud di alam realiti adalah amat sukar, kerana wujud kesamaran (mutasyabih) dalam perkara-perkara tersebut.
d. Di dalam perkara kesamaran (syubhat) itu ada hikmah Ilahi di dalamnya, kerana Allah SWT yang menurunkan Al Quran berkemampuan untuk menjadikan keseluruhan ayatnya pasti (muhkam) jelas maknanya. Tetapi Allah SWT menjadikannya mutasyabih (kesamaran ke atas orang yang tidak mengetahuinya dan membawa pelbagai makna di dalam tafsir dan takwil) sebagai hikmah. Allah yang Maha Mengetahui menunjukkan keperluan yang mendesak kepada para Maksumin (a.s) yang mengetahui tafsir dan takwil ayat-ayat mutasyabih. Daripada Rasulullah (SAWA) yang bermaksud “perkara yang jelas petunjuknya maka diikuti dan perkara yang yang jelas berdosa maka dijauhi, dan perkara kesamaran di antara kedua itu dirujuk hukumnya kepada Allah dan orang yang mendalam ilmunya (Rasikhun) untuk mengetahui takwilnya.”[10] Oleh itu, di dalam perkara kesamaran itu menunjukkan keperluan ummah kepada orang yang mendalam ilmunya (Al Rasikhuna fil Ilm), mereka adalah para imam (a.s) selepas Nabi (SAWA) dan di zaman kita adalah Shohib Al Amr iaitu Imam Mahdi (a.s). Mereka yang mengeluarkan fatwa dalam perkara kesamaran tidak memikirkan petunjuk Allah ini. Malahan berasa senang tanpa kehadiran peribadi Maksum (a.s) dan seterusnya berfatwa bahawa kami tidak memerlukan kamu. Akibatnya kita melebihkan kaedah-kaedah rasional ketika mengeluarkan fatwa dalam setiap permasalahan, tanpa perlu menahan diri dan seolah-olah tiada lagi kesamaran pada kami. Tambahan lagi kami telah kehilangan kamu (peribadi maksum) dan kami hari ini tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam mengeluarkan hukum-hukum Syariat.
e. Barangkali kita berpendapat bahawa kerosakan yang diakibatkan oleh fatwa adalah tidak benar, dan bersandar kepada dalil akal adalah lebih utama berbanding berpegang kepada kejumudan syariat ketika berhati-hati dan menahan diri dari mengeluarkan fatwa. Seterusnya mengatakan bahawa Agama itu adalah untuk Allah, jadi bila wujud kesukaran di dalam urusan agama dan syariat maka Allah SWT akan menghilangkan kesukaran tersebut bersesuaian dengan kebijakan ilmuNYA bagi kebaikan satu-satu tempat dan seseorang. Seterusnya DIA SWT tidak mempertanggungjawabkan kita urusan pensyariatan, maka apakah yang menghalang kita daripada berhadapan dengan urusan yang kritikal dan terbatas di sisiNYA? Tambahan pula ianya tidak pernah dilalui oleh para Nabi, rasul2 dan wasi2 (a.s), sedangkan mereka dibekalkan kesempurnaan akal dan didedahkan dengan pelbagai hakikat sebenar kepada mereka.
Bahkan mereka beranggapan ketikamana mengeluarkan fatwa dalam apa jua masalah yang tidak terdapat padanya dalil naqli (Al Quran dan Hadis), seolah-olah berkata kepada batang tubuh Imam Mahdi (a.s): “Kembalilah kamu wahai anak Fatimah, sesungguhnya kami tidak memerlukan kamu.”
f. Riwayat-riwayat yang membuktikan kewajipan supaya berpegang kepada dalil Al Quran dan Hadis (naqli) adalah:
Telah berkata Amirul Mukminin Ali (a.s): “Ketahuilah kamu wahai hamba Allah; sesungguhnya mukmin menghalalkan tahun ini apa yang telah dihalalkan pada tahun pertama, dan mengharamkan apa yang diharamkan di tahun pertama. Perlakuan manusia tidak menghalalkan kamu sesuatu yang diharamkan ke atas kamu, sebaliknya halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah dan haram adalah apa yang diharamkan oleh. Maka kamu telah diuji dengan pelbagai perkara dan berpegang teguh dengannya, dan kamu mengajak sepertimana orang-orang sebelum kamu. Aku telah berikan perumpamaan buat kamu dan mengajak kamu kepada perkara yang jelas, maka janganlah kamu memekakkan telinga kamu daripada itu melainkan kamu benar-benar pekak dan janganlah kamu membutakan mata kamu melainkan kamu benar-benar buta. Barangsiapa yang tidak diberi manfaat oleh Allah dengan bala dan ujian, maka dia tidak mendapat sebarang manfaat pun dari kesengsaraan. Di datangkan pengabaian di hadapannya sehingga dia mengetahui apa yang ditegah dan menegah apa yang diketahui. Sesungguhnya manusia terbahagi kepada dua golongan: pengikut syariat dan penjauh bid’ah (perkara baru dalam agama), yang tiada di sisinya pembuktian selain daripada jalan Allah SWT, dan tiada cahaya melainkan hujjah, dan sesungguhnya Allah SWT berfirman di dalam Al Quran menerangkan orang seperti ini, yang sesungguhnya dia adalah tali Allah yang teguh, dan menamakanya sebagai yang jujur (Al Amin), dan padanya terbit hati dan terpancutnya ilmu, tiada gelaran yang lebih tinggi selainnya, kerana dengan dia hilanglah orang yang beringat. Selebihnya adalah mereka yang lupa dan melupakan. Maka apabila kamu melihat kebaikan hendaklah kamu menolong ke atasnya, dan ketikamana kamu melihat keburukan hendaklah kamu menjauhi daripadanya.” Sesungguhnya Rasulullah (SAWA) telah bersabda: “Wahai anak-anak Adam, kerjakanlah kebaikan dan tinggalkanlah keburukan kerana kamu menuju kebaikan.”[11]
Daripada Nabi (SAWA): “Sesungguhnya orang mukmin itu mengambil agamanya daripada Allah, dan orang munafik itu meletakkan pendapat sendiri (ra’y) dan mengambil agama daripadanya.”
Daripada Amirul Mukminin Ali (a.s) telah berkata: “Sesungguhnya sebenci-benci makhluk di sisi Allah Azza Wa Jalla ada dua golongan; Lelaki yang Allah berlepas diri daripadanya dan dia menyeleweng daripada jalan keadilan, dia sangat tertarik kepada kata-kata bid’ah. Dia kelihatan seperi orang berilmu (alim) tentang mengerjakan puasa dan solat, namun dia adalah pembuat fitnah yang memperdayakan manusia, dia telah tersesat dari petunjuk orang-orang sebelumnya dan menyesatkan sesiapa yang mengikutinya samada semasa dia hidup atau setelah mati. Dia memikul dosa orang lain sebagai penebus dosanya.”
“Dan lelaki satu lagi adalah yang memperlihatkan kejahilan sebagai ilmu pengetahuan di kalangan orang-orang yang jahil. Dia menerima pertolongan daripada kegelapan fitnah. Manusia (yang secara zahir nampak seperti manusia tetapi sebenarnya adalah jahil) menganggap dia orang berilmu (alim), tetapi dia tidak pernah meluangkan walau satu hari pun bersama-sama dengan orang-orang berilmu (ulama). Dia telah membuat tindakan pramatang dengan memperbanyakkan sesuatu yang kecil bilangannya adalah lebih baik daripada bilangan yang banyak, dan dengan cara ini dia telah mengenyangkan dirinya dengan air yang dicemari dan telah telah menyimpan sesuatu yang tidak berguna. Dia duduk di kalangan manusia sebagai kadhi yang bertanggungjawab menjatuhkan fatwa yang mengelirukan dan kesamaran pada orang lain. Dia barangkali berlawanan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh kadhi-kadhi sebelumnya. Tiada siapa yang dapat memberitahu samada fatwanya itu akan sah berkekalan atau akan dipinda oleh kadhi selepasnya, sepertimana dia telah melakukan hal sedemikian kepada kadhi-kadhi sebelumnya. Sekiranya dia menghadapi isu-isu yang kesamaran dan sukar, tanpa segan silu dia akan menggunakan pandangan peribadinya sebagai kata putus. Sebenarnya, dia telah menyelaputi dirinya dengan perkara kesamaran (mutasyabih) sepertimana sarang labah-labah yang rapuh. Dia tidak pasti samada telah melakukan sesuatu yang benar atau salah. Dia menolak anggapan bahawa mempunyai ilmu yang sepatutnya adalah perlu, dan tidak terjangkau oleh akal fikirannya akan ada jalan ilmu tertentu. Dia melakukan qiyas dalam satu perkara dengan perkara yang lainnya tanpa memperdulikan pendapatnya yang terbukti bohong. Jikalau sesuatu perkara itu gelap yakni tidak diketahuinya maka disorokkannya, bagi menyembunyikan kejahilan dirinya supaya manusia tidak mengatakan bahawa dia tidak tahu. Setelah itu, dengan berani dia menghakimi dan menjadi kunci kepada kebinasaan, gudang kekeliruan, bingung di dalam kejahilan, dan tidak pernah menyesali kekurangan ilmunya. Tidak akan berganjak ilmunya ke peringkat ilmu hakiki yang dia boleh mengambil faedah. Dia menghamburkan hadis-hadis sepertimana angin yang meniup jerami. Dia membuatkan para waris meratap, dan titisan darah (dalam kes bunuh) meraung-raung kerananya. Ikatan perkahwinan yang sah menjadi haram dan perkahwinan yang tidak sah menjadi halal disebabkan fatwanya. Dia tiada keyakinan dan tidak boleh dipercayai dalam fatwa yang dikeluarkannya, dan tidak juga berkelayakan dalam perkara yang dia mengaku mempunyai ilmu yang sebenar.”[12]
Diriwayatkan bahawa dia (Amirul Mukminin Ali a.s) menyebutkan tentang Umar Al Khattab: Pada zamannya, dihiasi kaabah dengan banyaknya. Maka berkata satu kaum; “jikalau kamu mengambil perhiasan tersebut dan mempersiapkannya pada tentera-tentera Islam maka adalah balasan pahala yang lebih besar, Kaabah itu tidak dibina dengan perhiasan?” Fahamlah Umar akan hal itu, langsung bertanya kepada Amirul Mukminin Ali (a.s). Jawapan (a.s): “Sesungguhnya Al Quran diturunkan ke atas Nabi (SAWA) dan hartabenda itu ada empat: Harta benda muslimin hendaklah dibahagikan antara waris dalam Fara’idh, dan “Fa’i” hendaklah dibahagikan kepada orang yang berhak, dan “Khums” hendaklah diletakkan sepertimana Allah meletakkannya, dan Sedekah hendaklah diperbuatkan dia sepertimana yang Allah kehendaki. Adapun menghiasi Kaabah pada hari ini, maka Allah tinggalkannya sepertimana kedudukannya, dan janganlah kamu lupakannya, dan janganlah kamu meringankan kedudukan yang selayak buatnya, sepertimana selayaknya di sisi Allah dan RasulNYA.” Berkata Umar; “jikalau tidak kerana kamu sudah tentu kami tidak mengetahui dan meninggalkan dari menghiasi Kaabah sebagaimana kedudukannya.”[13]
Daripada Abi Bashir telah berkata, aku berkata kepada Abi Abdillah (a.s), “Kami mungkin berhadapan dengan perkara yang tidak disebut di dalam Kitab Allah dan Sunnah, bolehkah kami memberi pandangan sendiri berkenaannya? Jawab Abu Abdillah (a.s): Tidak sama sekali, sekiranya kamu benar, kamu tidak akan diberi balasan pahala. Dan sekiranya kamu salah, kamu telah berbuat bohong ke atas Allah Azza Wa Jalla.”[14]
Daripada Imam Sadiq (a.s), daripada bapanya Imam Baqir (a.s), daripada Ali (a.s), telah berkata:”Barangsiapa yang menasabkan dirinya dengan qiyas (persamaan) akan terus berkekalan di dalam kekeliruan, dan barangsiapa meletakkan agama Allah menggunakan akal fikiran (ra’y) akan terus berkekalan di dalam kelemasan.” Seraya berkata lagi Abu Ja’afar (a.s); “sesiapa yang mengeluarkan fatwa kepada orang ramai dengan akal fikirannya, maka dia telah mempraktikkan agama Allah dengan apa yang tidak diketahuinya. Dan barangsiapa yang mempraktikkan agama Allah dengan apa yang tidak diketahuinya, maka dia telah menentang Allah, dengan menghalal dan mengharamkan pada apa yang tidak diketahuinya.”[15]
Daripada Abi Abdillah (a.s) di dalam dialognya dengan Abu Hanifah, dalam satu hadis yang panjang, telah berkata: “Wahai Abu Hanifah, Adalah kamu mengetahui Kitab Allah dengan sebenarnya, dan Adakah kamu mengetahui yang memansuhkan (Nasikh) dan yang dimansuhkan (Mansukh)?” Abu Hanifah menjawab; YA. Seraya berkata Abu Abdillah; “Wahai Abu Hanifah kamu telah mendakwa kamu mengetahui, kesedihan buat kamu kerana Allah tidak menjadikan perkara sedemikian melainkan di sisi tuan punya yang diturunkan kitab ke atas mereka, kesedihan buat kamu kerana bukanlah dia (kitab Allah) melainkan di sisi individu tertentu daripada zuriat Nabi kita (SAWA). Dan tidaklah kamu diwariskan daripada kitabnya satu huruf pun, dan sesungguhnya kamu adalah sepertimana yang kami katakan dan bukan sepertimana kamu katakan....”[16]
Daripada Abdullah bin Shabarmah telah berkata, aku tidak menyebutkan hadis yang aku dengari daripada Jaafar bin Muhammad (a.s) melainkan ianya menghiris hatiku, telah berkata bapaku daripada datukku daripada Rasulullah (SAWA). Berkata Ibnu Shabarmah lagi; aku bersumpah demi Allah bahawa bapanya tidak berbohong ke atas datuknya dan tidak juga datuknya berbohong ke atas Rasulullah (SAWA), seterusnya berkata; telah bersabda Rasulullah (SAWA): “Barangsiapa yang beramal dengan qiyas (persamaan) maka telah binasa dan membinasakan, dan barangsiapa yang memberi fatwa kepada manusia sedangkan dia tidak mengetahui yang memansuhkan (Nasikh) daripada yang dimansuhkan (mansukh), dan hukum yang pasti (muhkam) daripada yang hukum yang kesamaran (mutasyabih) maka dia telah binasa dan membinasakan.”[17]
Daripada Al Sadiq (a.s): “Jauhilah kamu akan dua tabiat: Maka pada keduanya binasalah orang yang binasa, jauhilah kamu daripada memberi fatwa kepada manusia dengan akal fikiran (ra’y) kamu, dan beragama dengan apa yang kamu tidak ketahui.”[18]
Daripada Al Baqir (a.s); “Barangsiapa memberi fatwa kepada manusia tanpa ilmu dan petunjuk daripada Allah, maka dia akan dilaknati oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab, dan bakal mengikutinya dosa-dosa mereka yang beramal dengan fatwanya.”[19]
Daripada Nabi (SAWA): “Barangsiapa beramal tanpa ilmu, adalah lebih membawa keburukan yang lebih besar berbanding kebaikan.”[20]
Daripada Al Sadiq (a.s): “Sesungguhnya para pengamal qiyas mendapatkan ilmu mereka dengan qiyas, yang mana qiyas tidak mendekatkannya kepada kebenaran melainkan semakin jauh, dan sesungguhnya Agama Allah itu tidak bertepatan dengan qiyas.”[21]
Daripada Al Sadiq (a.s): “Orang yang beramal tanpa mata hati (Bashirah) adalah seumpama pengembara tanpa menggunakan jalan, yang tidak membuatkannya cepat sampai melainkan semakin jauh.”[22]
Daripada Al Kadhim (a.s): “Telah binasa siapa yang memberi pandangan menggunakan akal fikirannya, dan telah kafir siapa yang meninggalkan Kitab Allah dan kata-kata NabiNYA.”[23]
Daripada Amirul Mukmini (a.s): “Wahai seluruh Syiah kami dan mereka yang mengakui wilayah kami, jauhilah kamu kelompok rasionalis (yang menggunakan akal fikiran) kerana mereka adalah musuh-musuh Sunnah. Mereka menjauhi hadis-hadis daripada memeliharanya, dan melemahkan hadis daripada menyokongnya, seterusnya mereka mengambil hamba Allah sebagai khadam, dan hartanya sebagai ganti. Maka manusia tunduk dan taat kepada mereka seumpama anjing, seterusnya menanggalkan kebenaran dan pemiliknya, serta berlagak seperti para Imam yang maksum lagi soleh (benar) namun mereka adalah kalangan orang jahil yang dilaknati. Oleh itu, ditanyakan kepada mereka tentang perkara yang tidak mereka ketahui, mereka menolak daripada mengakui bahawa mereka tidak tahu, seterusnya membandingkan agama dengan akal fikiran mereka sehingga mereka sesat lagi menyesatkan. Adapun sekiranya agama itu berlandaskan qiyas, maka selayaknya disapu bawah telapak kaki berbanding bahagian atasnya.”[24]
Telah berkata Al Sadiq (a.s): “Wahai golongan yang dirahmati lagi dimenangkan, sesungguhnya Allah telah menyempurnakan bagi kamu dengan apa yang diberikan kamu kebaikan, maka ketahuilah bahawa ia bukanlah daripada ilmu Allah dan bukan juga perintahnya supaya seseorang dari ciptaan Allah itu mengambil hawa nafsu dalam agamanya, tidak akal fikiran, dan tidak juga qiyas. Allah SWT telah menurunkan Al Quran dan dijadikan padanya penjelasan bagi setiap sesuatu. Menjadikan dan mengajarkan Al Quran kepada pemiliknya, sehingga pemilik ilmu Al Quran (keluarga Muhammad a.s) yang diberikan Allah ilmunya tidak berkemampuan mengambil padanya berlandaskan hawa nafsu, akal fikiran dan juga qiyas. Allah telah mencukupkan mereka dengan pemberian ilmuNYA daripada memerlukan hal sedemikian, dikhususkan mereka dengannya, dan diberikan Allah di sisi mereka kemuliaan (karamah) yang memuliakan mereka dengannya dan mereka adalah Ahli Zikr (Ahlulbayt a.s).”[25]
__________________________________________________
[1] Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 43. Fusul Al Muhimmah li Al ‘Amili, jilid 1, ms 531.
[2] Syeikh Al Muzaffar dalam kitabnya “Usul Al Fiqh”: Sesungguhnya pandangan orang-orang berakal adalah bersesuaian dengan keberakalan mereka dalam isu-isu ilmiah yang masyhur (pandangan-pandangan terpuji) dan dalam perkara berkaitan pemeliharaan sistem dan cabang-cabang, yang dengannya diungkapkan hukum-hukum syariat, kerana Pencipta Syariat adalah daripada “ Yang Berakal”, bahkan DIA adalah ketuanya dan pencipta akal. Maka semestinya DIA berhukum dengan hukum mereka. Usul Fiqh, jilid 3, ms 104.
[3] Diriwayatkan oleh Al Kulayni daripada Imam Musa Al Kadhim (a.s) di dalam wasiatnya untuk Hisyam bin Hakam, telah berkata (a.s): “Wahai hisyam, sesungguhnya hujjah Allah ke atas manusia itu ada dua iaitu: Hujjah yang nampak (zahir) dan hujjah yang tersembunyi (batin), adapun yang zahir itu adalah para rasul, nabi-nabi dan imam-imam. Manakala yang batin itu adalah akal.” Al Kafi, jilid 1, ms 16.
[4] “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (Al Taubah: 31) Diriwayatkan Syeikh Al Kulayni: daripada Abu Bashir, telah berkata: Aku bertanya Abu Abdillah (a.s) berkenaan firman Allah Azza Wa Jalla: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah”, Seraya berkata (a.s): “Demi Allah mereka tidak mengajak supaya menyembah diri mereka, kerana sekiranya mereka mengajak supaya menyembah diri mereka pastilah tidak dijawab ajakan mereka itu. Tetapi mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, seterusnya disembah mereka itu secara mereka tidak sedari.” Diriwayatkan juga: daripada Ibn Abi Umair, daripada seorang lelaki, daripada Abu Abdillah (a.s), telah berkata: “Barangsiapa yang mentaati seorang lelaki dalam perkara maksiat maka dia telah menyembahnya.” Al Kafi, Jilid 2, ms 398.
[5] “Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.” (Al Maidah: 103)
[6] Ini berdasarkan perbezaan mereka tentang prinsip universal yang diterima umum (Qa’idah Al Awwaliyyah) dalam hal yang meragukan. Kebanyakan ulama Usuli yang tersohor berpendapat bahawa prinsip universal ini adalah “keburukan pembalasan tanpa kejelasan” (Qabh al Iqab bila bayan), iaitu setiap mukallaf tidak dipertanggungjawabkan terhadap suatu urusan kewajipan yang tiada kejelasan di dalamnya. Perkara yang ada andaian (dhan), keraguan (syak) atau kebarangkalian (ihtimal) dalam sesuatu urusan kewajipan adalan tidak diwajibkan berjaga-jaga padanya. Manakala Al Syahid Muhammad Baqir Al Sadr berpendapat bahawa prinsip universal yang diterima umum adalah hak kewajipan untuk taat, yang bermakna kewajipan untuk taat kepada Allah Azza wa Jalla dalam urusan kewajipan yang ada keraguan atau kebarangkalian. Oleh itu, dalam kewajipan yang ada andaian (dhan), keraguan (syak) atau kebarangkalian (ihtimal) adalah diwajibkan perlaksanaan urusan kewajipan tersebut, dan ianya adalah langkah berjaga-jaga akal. Benar, sekiranya syariat membenarkan peninggalan langkah berjaga-jaga , maka sudah tentu syariat membenarkan prinsip ini. Perhatikan seterusnya kata-kata Al Syahid Muhammad Baqir Al Sadr (rahimahullah) dalam menjelas perkara ini: “Bahawa yang dapat dicapai dengan akal kita, maka bagi Allah SWT hak ketaatan dalam setiap kewajipan yang diwahyukan samada ianya tetap (qat’ie), andaian (dhan), keraguan (syak) atau barangkali (ihtimal), yang mana DIA SWT sendiri tidak memberi otoriti dalam meninggalkan penjagaannya. Duroos fi Ilm Al Usool, jilid 1, ms 156.
[7] Telah berlaku khilaf dalam masalah baik dan buruk, Kelompok Asya’irah mengatakan bahawa: kebaikan dan keburukan itu adalah apa yang ditetapkan baik dan buruknya oleh syariat, seterusnya mengingkari bahawa kebaikan dan keburukan berpandukan akal. Pada masa yang sama Muktazilah dan Syiah Imamiyah (aliran usuli) menetapkan bahawa kebaikan dan keburukan itu adalah berpandukan akal. Mereka mengatakan bahawa pada dasarnya perkara-perkara baik dan buruk itu tidak ditetapkan oleh syariat. Sebaliknya setiap yang baik pandangan akal akan digalakkan oleh Syariat, dan setiap yang dibenci oleh akal akan ditegah oleh syariat. Persekongkolan hukum akal dan hukum syara’ ini ditentang oleh aliran Akhbar (konservatif) dalam Syiah. Khulasah Ilm Kalam, Al Fadhli, ms 146. Muhadharat fil Ilahiyyat, Al Subhani, ms 155. Sila lihat butiran (c) untuk mendapatkan jawapan kepada permasalahan ini.
[8] Al Quran 2: 216
[9] Al Quran 2: 219
[10] Al Amali Al Saduq, ms 381-382. Al Hisal li Al Saduq, ms 153.
[11] Syarah Nahj Al Balaghah, Muhammad Abdul, jilid 2, ms 94. Mustadrak Al Wasail, jilid 17, ms 262. Bihar Al Anwar, jilid 2, ms 312.
[12] Al Kafi, jilid 1, ms 55.
[13] Nahjul Balaghah, jilid 4, ms 65. Wasail Al Syiah, jilid 13, ms 255. Bihar Al Anwar, jilid 30, ms 695.
[14] Al Kafi, jilid 1, ms 56. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 40.
[15] Sharh Usul Al Kafi, jilid 2, ms 267.
[16] Al Kafi, jilid 1, ms 57. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 41. Sharh Usul Al Kafi, jilid 2, ms 267. Al Fusul Al Muhimmah, jilis ms 535. Bihar Al Anwar, jilid 2, ms 299.
[17] ‘ilal Al Syarai’, jilid 1, ms 89. Al Wasail, jilid 27, ms 48.
[18] Amali Al Saduq, ms 507. Al Kafi, jilid 1, ms 43. Mustadrak Al Wasail, jilid 17, ms 257.
[19] Al Kafi, jilid 1, ms 42. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 21.
[20] Al kafi, jilid 1, ms 42. Al Tahzib, jilid 6, ms 223. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 25.
[21] Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 43. Fusul Al Muhimmah li Al ‘Amili, jilid 1, ms 531.
[22] Al Kafi, jilid 1, ms 34. Amali Al Saduq, ms 507. Man La Yahdhuruhu Al Faqih, jilid 4, ms 401.
[23] Al Kafi, jilid 1, ms 56. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 40. Fusul Al Muhimmah li Al ‘Amili, jilid 1, 126.
[24] Al Hadaiq Al Nazhirah, jilid 10, ms 62. Mustadrak Al Wasail, jilid 17, ms 301. Bihar Al Anwar, jilid 2, ms 84.
[25] Al Kafi, jilid 8, ms 5. Wasail Al Syiah, jilid 27, ms 37. Mustadrak Al Wasail, jilid 7, ms 34.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan