Versi pendek wasiat Rasulullah SAWA:
Daripada Abi Abdillah a.s, daripada bapa-bapanya terdahulu, daripada Amirul Mukminin Ali a.s, telah berkata: Rasulullah SAWA telah bersabda kepada Ali di malam sebelum kewafatannya; Wahai Bapa Hassan (Ali a.s) bawakan lembaran tulis dan dakwat, maka Rasulullah SAWA mencatatkan wasiatnya sehinggalah ia sampai ke butiran berikut, dan bersabda; Wahai Bapa Hassan sesungguhnya akan ada selepasku duabelas orang Imam dan selepas mereka duabelas orang Mahdi. Engkau wahai Ali adalah yang pertama dari duabelas imam tersebut. Dan hadis tersebut berterusan sehingga sampai kepada sabda, dan hendaklah diserahnnya kepada anaknya Muhammad Al Mustahfiz dari keluarga Muhammad alaihis salam. Begitulah duabelas orang Imam, setelah itu akan adanya duabelas Mahdi. Maka apabila maut menghampirinya, hendaklah dia serahkannya (Imamah) kepada anaknya Mahdi yang pertama, baginya tiga nama: nama seperti namaku dan nama bapaku iaitu Abdullah dan Ahmad, dan nama ketiganya adalah Al-Mahdi. Dan dia adalah yang pertama beriman. Bihar Al Anwar jilid 53 ms 147, Ghaybah Al Toosi ms 150, dan Ghayat Al Maram jilid 2 ms 241.
Versi penuh wasiat Rasulullah SAWA beserta dengan sanadnya dan juga sumber-sumber yang meriwayatkannya:
Daripada Abi Abdillah Al Hussain bin Sufyan, daripada Ali bin Sinan Al Musili, daripada Ali bin Al Hussain, daripada Muhammad bin Al Khalil, daripada Jaafar bin Ahmad Al Masri, daripada bapa saudaranya Al Hassan bin Ali, daripada bapanya, daripada Abi Abdillah Jaafar bin Muhammad, daripada bapanya Al Baqir, daripada bapanya Ali Zainal Abidin, daripada bapanya Al Hussain Al Syahid, daripada bapanya Amirul Mukminin Alaihis salam telah berkata: bersabda Rasulullah SAWA kepada Ali AS dimalam sebelum kewafatan baginda: Wahai Abal Hassan (Ali a.s) bawakan lembaran tulis dan dakwat. Maka Rasulullah SAWA telah menyebutkan wasiatnya untuk dicatatkan sehinggalah ia sampai kepada noktah berikut, baginda SAWA bersabda: Wahai Ali sesungguhnya akan ada selepasku duabelas orang Imam dan selepas mereka duabelas orang Mahdi, engkau wahai Ali adalah yang pertama di kalangan duabelas orang Imam tersebut, Allah menamakan engkau di langitnya; Ali Al Murtadha, Amirul Mukminin, Siddiq Al Akbar, Faruq Al A’zham, Al Makmun, dan Al Mahdi, tiada sesiapapun dibenarkan memakai nama-nama ini. Wahai Ali, engkau adalah pemegang wasiatku ke atas Ahlulbaytku ketika mereka masih hidup mahupun setelah mereka mati, dan ke atas isteri-isteriku: barangsiapa yang engkau kekalkannya akan bertemu denganku besok, barangsiapa yang engkau ceraikan maka aku berlepas diri darinya, dan dia takkan dapat melihat aku dan aku tidak melihatnya pada hari kiamat. Engkau adalah khalifah ku ke atas umatku selepas aku, apabila maut menghampirimu, maka hendaklah diserahkannya (khilafah) kepada anakku Al Hassan Al Birr Al Wusul. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anakku Al Hussain yang syahid lagi cerdik dan dibunuh. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya penghulu segala abid Ali. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad Al Baqir. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkan kepada anaknya Ja’afar Al Sadiq. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Musa Al-Kadhim. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Ali Al Ridha. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad Al Thiqah Al Taqiy. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Ali Al Nasih. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Al Hassan Al Fadhil. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad yang terpelihara daripada keluarga Muhammad alaihissalam. Maka itulah dua belas imam, dan akan datang selepasnya dua belas Mahdi. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkan kepada anaknya iaitu Muqarrab yang pertama (sesetengah sumber menyebutkan Mahdi yang pertama). Baginya tiga nama : nama seperti namaku dan nama bapaku, iaitu Abdullah (hamba Allah) dan Ahmad. Dan namanya yang ketiga adalah Al Mahdi, dia adalah yang pertama beriman (dengan zuhur Imam Mahdi a.s).
- Sheikh Al Toosi menyebutkan riwayat wasiat ini di dalam kitabnya Al Ghaibah ms 150 beserta himpunan riwayat bagi menguatkan bahawa Imamah adalah untuk Ahlulbayt a.s. Kemudian Sheikh Al Toosi memperkuatkan lagi riwayat ini dengan riwayat-riwayat wasiat yang lain di dalam kitab yang sama pada ms 156. Ianya adalah himpunan riwayat yang digunapakai sebagai dalil untuk menguatkan tuntutannya bahawa Imamah adalah di kalangan Ahlulbayt a.s. Dia mengatakan bahawa riwayat ini adalah sahih kerana Syiah Imamiyah meriwatkannya secara tawatur iaitu orang yang terkemudian meriwayatkan dari orang terdahulu tanpa terputus. Jalan pentashihannya adalah satu sepertimana terdapat di dalam kitab-kitab Imamiyah dan juga melalui manuskrip-manuskrip Amirul Mukminin Ali a.s
- Sheikh Al Hurr Al Amili di dalam kitabnya Ithbat Al-Huda, jilid 1, ms 549, hadis no. 376.
- Sheikh Al Hurr Al Amili di dalam kitabnya Al Iqadh, ms 393.
- Sheikh Hassan bin Sulaiman Al Hilli di dalam kitabnya Mukhtasar Al Bashair, ms 159.
- Al Allamah Al Majlisi di dalam kitab Bihar Al Anwar, jilid 53, ms 147, hadis no. 6 (secara ringkas), dan jilid 36, ms 81, hadis no. 81 (secara terperinci tanpa rangkap “Apablia maut menghampirinya”)
- Sheikh Abdullah Al Bahrani di dalam kitabnya Al ‘Awalim, jilis 1, ms 370, hadis no. 59.
- Sayyid Hashem Al Bahrani di dalam kitabnya Ghayat Al-Maram, jilid 1, ms 370, hadis no. 59.
- Sayyid Hashem Al Bahrani di dalam kitabnya Al insaf, ms 222.
- Al Faydh Al Kashani di dalam ktabnya Nawadir Al Akhbar, ms 294.
- Sheikh Mirza Al Noori di dalam kitabnya Al Najm Al Thaqib, jilid 2, ms 71.
- Sayyid Muhammad Muhammad Sadiq Al Sadr menyebutkannya di dalam kitabnya Tarikh Ma Ba’da Dhuhur, ms 641.
- Sheikh Al Miyanji di dalam kitabnya Makatib Al Rasul, jilid 2, ms 96.
- Sheikh Al Kurani di dalam kitab Mukhtasar Mu’jam Ahadis Al Imam Al Mahdi.
***Telah muncul Ahmad yang disebutkan di dalam wasiat Rasulullah sebagai Mahdi yang pertama iaitu pelaksana wasiat Imam Al Mahdi a.s dewasa ini dan mengajak semua umat manusia untuk memberi taatsetia (baiah) kepada Allah SWT.
Sekiranya kita merujuk kepada rentetan peristiwa yang berlaku sebelum kewafatan Rasulullah SAWA, dan secara khususnya pada hari khamis terakhir yang lebih dikenali dengan “Tragedi Hari Khamis”. Maka kita akan dapati bahawa umat Islam keseluruhannya bersepakat bahawa Rasulullah SAWA hendak meninggalkan wasiat, dan baginda bersabda bawakan kepada aku lembaran tulis dan dakwat untuk kamu catatkan apa yang tidak akan membuatkan kamu sesat selama-lamanya. Namun sekumpulan sahabat membantah dan terbahagi kepada dua kumpulan menyebabkan Rasulullah SAWA murka dan seterusnya bersabda “pergilah kamu dari sisiku”. Terdapat puluhan hadis menyebutkan tentang Tragedi Hari Khamis ini di dalam kitab-kitab Ahlussunnah wa Al Jamaah berbanding kitab-kitab Syiah dan kitab-kitab sejarah lainya. Dibawakan di sini riwayat yang diambil dari kitab Sahih Bukhari :
Telah diceritakan kepada kami Ibrahim bin Musa, begitu juga diceritakan kepada kami Hisham bin Mu’ammar, dan diceritakan kepadaku Abdullah bin Muhammad, diceritakan kepada kami Abdul Razaq, dikhabarkan kepada kami Muammar daripada Al-Zuhri, daripada Ubaidullah bin Abdullah, daripada Ibnu Abbas r.a, dia telah berkata: Ketikamana maut menghampiri Rasulullah SAWA dan di dalam rumahnya terdapat sekumpulan lelaki antaranya Umar bin Al Khattab, maka Nabi SAWA telah bersabda, Dekatlah kepadaku supaya dapat aku tuliskan buat kamu tulisan yang tidak akan menyesatkan kamu selepasnya. Maka Umar berkata: Sesungguhnya Nabi SAWA sedang sakit tenat (al waja’), dan di sisi kamu ada Al Quran, jadi cukuplah kitab Allah. Maka bertelagah dan bertengkarlah mereka yang berada di dalam rumah itu, sebahagian mereka berkata “datanglah dekat supaya Nabi menuliskan kamu tulisan yang tidak menyesatkan kamu selepasnya”, dan sebahagian yang lain pula berkata sepertimana yang dikatakan Umar. Apabila keadaan bertambah runsing dan pertengkaran mereka semakin hangat di sisi Nabi SAWA , maka Rasulullah SAWA telah bersabda: “pergilah kamu dan tinggakanlah aku”. Telah berkata Ubaidullah bahawa Ibnu Abbas biasa mengatakan tragedi atas segala tragedi, kerana pertengkaran dan pertelagahan mereka menyebabkan Rasulullah SAWA terhalang daripada menuliskan tulisan tersebut kepada mereka.
Jelas bahawa umat Islam bersepakat bahawa Rasulullah SAWA:
- Ingin meninggalkan wasiat
- Menggambarkan bahawa tulisan atau wasiat yang bakal dicatatkan adalah jaminan dari kesesatan.
- Ada kelompok yang membantah dan bertelagah di sisi Rasulullah SAWA.
Terbukti bahawa umat ini berbeza pendapat tentang:
- Adakah wasiat tersebut telah dituliskan atau tidak (tanpa wujudnya dalil atau teks menunjukkan bahawa tidak wujudnya wasiat)?
- Atau ianya telah dituliskan tetapi tidak sampai kepada kita?
Dengan kesepakatan seluruh umat Islam bahawa tragedi tersebut telah berlaku pada malam khamis dan Rasulullah SAWA wafat di waktu Zuhur pada hari isnin. Sekiranya seseorang yang bertaqwa dan di sisinya tulisan yang dapat menjamin umat daripada kesesatan, manakala di sisi yang lain pula terdapat seseorang yang berpewatakan seperti Umar misalnya yang cuba menghalangnya daripada meninggalkan wasiat tersebut. Maka berselang masa tiga hari buatnya untuk mencatatkan wasiatnya, adakah dia akan meninggalkan perbuatan tersebut? Sudah tentu tidak. Oleh itu, bagaimana pula dengan penghulu orang-orang yang bertaqwa? Bagaimana mungkin kita menuduhnya tidak menuliskan wasiatnya?
Setelah kita bersetuju bahawa wasiat tersebut dituliskan, maka wajiblah ianya sampai kepada kita. Ini disebabkan sifat Pemurah Allah SWT yang menjadikan Rasulullah SAWA tidak mengucapkan sesuatu daripada hawa nafsunya telah berkata bahawa ianya adalah tulisan yang menjamin dari kesesatan.
Kesimpulannya adalah seperti berikut:
- Wasiat itu tertulis
- Sebagai jaminan dari kesesatan
- Ianya telah disampaikan kepada kita melalui kitab-kitab. Sekiranya kita menyemak kitab-kitab umat Islam di setiap mazhab, kita akan dapati bahawa hanya ada satu wasiat Rasulullah SAWA ketika menghampiri maut iaitu wasiat yang disebutkan di dalamnya khalifah-khalifah selepas daripadanya seramai dua belas orang Imam dan dua belas orang Mahdi, seperti tersebut di dalam kitab Al Ghaibah Al Toosi di muka surat 150.
Terjemahan bebas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan