• Daripada Abi Abdillah a.s, daripada bapa-bapanya terdahulu, daripada Amirul Mukminin Ali a.s, telah berkata: Rasulullah SAWA telah bersabda kepada Ali di malam sebelum kewafatannya; Wahai Bapa Hassan (Ali a.s) bawakan lembaran tulis dan dakwat, maka Rasulullah SAWA mencatatkan wasiatnya sehinggalah ia sampai ke butiran berikut, dan bersabda; Wahai Bapa Hassan sesungguhnya akan ada selepasku duabelas orang Imam dan selepas mereka duabelas orang Mahdi. Engkau wahai Ali adalah yang pertama dari duabelas imam tersebut. Dan hadis tersebut berterusan sehingga sampai kepada sabda, dan hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad Al Mustahfiz dari keluarga Muhammad alaihis salam. Begitulah duabelas orang Imam, setelah itu akan adanya duabelas Mahdi. Maka apabila maut menghampirinya, hendaklah dia serahkannya (Imamah) kepada anaknya Mahdi yang pertama, baginya tiga nama: nama seperti namaku dan nama bapaku iaitu Abdullah dan Ahmad, dan nama ketiganya adalah Al-Mahdi. Dan dia adalah yang pertama beriman.[1]
Dalam bukunya An Najm Ath-Thaqib, Mirza An-Nuri menyatakan bahawa riwayat yang disebutkan di atas adalah dipercayai. Malah, riwayat tersebut mempunyai makna yang jelas dan tidak memerlukan apa-apa tafsiran: Mahdi pertama adalah anak kepada Imam Mahdi (a.s), dia akan menjadi penyokong pertama dan yang pertama beriman dengan dakwah kezuhuran Imam (a.s), kerana ramai yang beriman kepada Allah, bahkan umat Islam lebih ramai lagi. Selain itu, dengan mengatakannya sebagai "yang pertama beriman", pastinya bermaksud yang pertama yang beriman dengan dakwah Imam (a.s) di masa kezuhurannya, kerana dia adalah utusan Imam (a.s) kepada semua umat manusia dan juga Washinya yang akan memerintah Daulah Keadilan Ilahi selepas bapa (a.s). Namanya adalah Ahmad, Abdullah dan Mahdi. "Abdullah" adalah kata sifat dalam bahasa Arab yang bermaksud hamba Allah, dan "Mahdi" bermaksud yang mendapat petunjuk kebenaran adalah nama yang akan diberikan kepadanya kerana dia adalah yang pertama daripada dua belas Mahdi, dari keturunan Imam Mahdi (a.s). Oleh itu, hanya nama "Ahmad" sahaja yang masih berbaki.
(A) Kesesuaian Nama
Wasiat Rasulullah (sawas) menjelaskan kepada kita bahawa Mahdi pertama dinamai "Ahmad". Kemudian, seharusnya kita melihat kepada riwayat-riwayat yang merujuk kepada Al-Yamani, seperti riwayat panji hitam, khazanah di Tholiqan, panji Khurasan dan panji timur, kerana tidak terdapat riwayat yang menggambarkan mereka sebagai tidak taat atau memberontak terhadap panji Al-Yamani (a.s). Oleh kerana, sesiapa yang memberontak terhadapnya (Al-Yamani) akan dihumbankan ke dalam Neraka dan semua riwayat mengesahkan bahawa kesemua panji tersebut akan berjuang untuk membuka jalan bagi kezuhuran Imam Mahdi (a.s).
• Daripada Al-Baqir dengan jalan periwayatan yang diambil daripada Jabir, berkata: [Allah SWT mempunyai khazanah di Tholiqan; ia bukan emas mahupun perak tetapi terdiri daripada 12000 (lelaki) di Khurasan, yang slogan mereka adalah "Ahmad, Ahmad". Mereka akan diketuai oleh seorang lelaki muda Bani Hashim yang menunggang keldai kelabu dan memakai destar merah. Seolah-olah aku boleh melihat dia menyeberangi sungai Furat; sekiranya kamu mendengar kedatangannya, hendaklah kamu bersegera kepadanya walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji].[2]
Oleh itu, riwayat yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa nama Al-Yamani itu adalah "Ahmad" serta sepadan dengan nama Mahdi pertama (a.s), seperti yang dihubungkan dalam wasiat Rasulullah (sawas), di mana baginda (sawas) merujuk kepada washi dan khalifah Imam Mahdi (a.s).
Sepertimana yang telah saya sebutkan, panji yang Rasulullah (sawas) tuntut dan tekankan unutk berbaiah kepadanya, walaupun jika seseorang terpaksa merangkak di atas salji adalah panji timur (panji Al-Yamani yang dijanjikan) dan sesiapa yang memberontak terhadapnya akan dihumban ke dalam neraka. Menurut riwayat, perbendaharaan Tholiqan adalah terpuji dan lelaki muda Bani Hashim yang memimpin mereka adalah salah seorang yang komander tentera Al-Yamani, kerana perbendaharaan Tholiqan adalah sebahagian daripada panji timur yang berhimpun di bawah panji Al-Yamani dan slogan mereka adalah "Ahmad, Ahmad". Ungkapan "Ahmad, Ahmad" dikenali sebagai berbeza dari slogan atau lambang yang kita kenali bersama hari ini, bahkan ia merujuk kepada komander umum yang bersatu dibawahnya kesemua panji timur.
Kata-kata Imam (a.s) yang bercerita tentang khazanah Tholiqan: "Seolah-olah aku boleh melihat dia melintasi sungai Furat," adalah merujuk kepada Tholiqan yang terletak di Iran. Selain itu, sungai Furat tidak menyeberangi mana-mana kawasan yang bersempadan dengan Iran kecuali wilayah Basrah, selepas sungai Furat bercantum dengan sungai Dijlah (Tigris) di Shatt al-Arab. Oleh itu, jika mereka hendak menyeberangi mana-mana bandar Iraq selain daripada Basra, maka mereka harus menyeberangi sungai Dijlah dan bukannya sungai Furat. Ia merupakan satu petunjuk jelas yang menghubungkan Al-Yamani dengan Basrah, salah satu wilayah di selatan Iraq, yang mana sungai Furat merentangi bandar Nasiriyah yang dahulunya dikenali sebagai Furat Basrah, sepertimana wilayah Maysaan yang dahulunya dikenali sebagai Dijlah Basrah.
• Diriwayatkan daripada Amirul Mukminin, Ali Ibn Abi Talib (a.s), berkata: [... Dajjal akan keluar dari Dijlah Basrah dan dia bukan dari keturunanku, dia akan menjadi yang pertama dari semua dajjal. ]
• Juga diriwayatkan daripada Amirul Mukminin, Ali Ibn Abi Talib (a.s), berkata: [... Kemudian Al-Mahdi yang memberi petunjuk lagi mendapat petunjuk akan keluar dan mengambil panji dari Isa anak Maryam, dan dajjal akan keluar selepas itu dari Maysaan di pinggir Basra.] Walau bagaimanapun, dengan sempadan semasa, Basra tidak termasuk dalam sungai Furat serta Sungai Dijlah, tetapi kedua-dua sungai bercantum di Shatt al-Arab. Akibatnya, sungai Dijlah Basrah adalah Maysaan dan Furat Basrah adalah Nasiriyah. Sepertimana yang dijelaskan dalam riwayat kedua yang diriwayatkan dari Amirul Mukminin (a.s) adalah bermaksud Maysaan yang terletak di wilayah Basrah dahulu kala.
Ahlulbayt (a.s) meminta manusia untuk mengikuti orang yang akan menyeberangi sungai Furat dan oleh kerana sungai Furat terletak di Iraq, maka hadis ini ditujukan pertamanya kepada rakyat Iraq dan kemudian kepada orang lain. Imam (a.s) berkata: [Seolah-olah aku boleh melihat dia menyeberangi sungai Furat, sekiranya kamu mendengar kedatangannya, hendaklah kamu bersegera kepadanya walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji,]. Kata kerja "merangkak" maknanya bergerak selari dengan tangan dan lutut anda, dengan badan rapat ke tanah. Seorang lelaki yang bijak seharusnya memahami petunjuk yang agak jelas ini, iaitu tiada siapa yang harus memberontak terhadapnya melainkan jika dia adalah salah seorang dari orang-orang yang fasik, ragu-ragu dan ingkar terhadap keluarga Muhammad (a.s) dan menolak mereka (musuh-musuh mereka) atau menyembah selain dari Allah, yakni mana-mana ulama pengkhianat yang ingkar, yang mana jurubicara Allah iaitu Muhammad (sawas), berkata: [Ulama pada masa itu adalah ulama yang paling jahat di bawah lindungan langit]. Mereka menjadikan diri mereka dan orang lain percaya bahawa mereka adalah Awliya Allah.
Dalam hal ini, Allah swt berfirman: {Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan}.[3] Dalam kata-katanya, Nabi (sawas) tidak membuat sebarang pengecualian, kerana orang-orang yang melakukan amal yang baik akan menjadi sangat sedikit dan tidak penting pada masa itu, dan tidak mempunyai pengaruh ke atas masyarakat yang ingkar dan menyeleweng, bahkan mereka akan menjadi orang-orang yang tertindas. Allah SWT berfirman: {Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi}.[4]
(B) Hujjatullah dan Rasulullah (sawas) memerintahkan supaya berbaiah kepadanya:
Riwayat berkaitan Mahdi-Mahdi jelas menunjukkan bahawa duabelas Mahdi (a.s) akan menggantikan Imam Mahdi (a.s) adalah dari keturunannya dan washi yang dinaskan di dalam wasiat Rasulullah (sawas), begitu juga disebut duabelas Imam (a.s) yang mendahului mereka. Para Mahdi akan menggantikan bapa mereka, Imam Mahdi (a.s), sebagai Hujjat-Hujjat Allah ke atas hamba-hambaNya supaya Bumi tidak dibiarkan tanpa Hujjat. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: {Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira dan pembawa amaran, supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana}.[5] Dia SWT berfirman lagi: {Katakanlah: maka Allah mempunyai bukti yang tegas lagi nyata. Oleh itu, jika Dia menghendaki tentulah Dia akan memberi hidayat petunjuk kepada kamu semuanya}.[6]
• Abu Jafar Al-Baqir (a.s) berkata: [Demi Allah, sejak Adam wafat, Allah tidak pernah meninggalkan bumiNya tanpa seorang Imam untuk membimbing manusia kepada-Nya dan menjadi Hujjat-Nya ke atas hamba-hambaNya; kerana bumi tidak boleh kekal tanpa Imam yang akan menjadi Hujjat Allah ke atas hamba-hambaNya.][7]
• Diriwayatkan dari Abu Abdullah (a.s), berkata: [Jika tinggal dua orang di muka bumi, nescaya salah seorang daripada mereka maka akan menjadi Hujjat ke atas yang seorang lagi.][8]
• Abu Abdullah (a.s) berkata: [Jika manusia itu hanya tinggal dua orang sahaja, maka salah seorang daripada mereka akan menjadi Imam. Dia juga berkata bahawa dia yang meninggal dunia kemudian akan tetap menjadi Imam supaya tiada siapa yang akan mempunyai hujah terhadap Allah SWT bahawa Dia meninggalkan seseorang tanpa Hujjat Allah ke atasnya.][9]
Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa Hujjat Allah haruslah maksum, supaya hujjahNya menjadi sempurna; {Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun; Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya, maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya}.[10] Allah menugaskan untuk Hujjat-hujjat Nya, pengawal untuk berarak sebelum dan selepas mereka, untuk membezakan dan memuliakan kedudukan mereka; oleh itu manusia tidak ada lagi hujah terhadap Allah selepas kedatangan utusan dan hujjatNya ke atas mereka secara menyeluruh tanpa ada kekurangan.
Oleh itu, ianya jelas kepada kita bahawa Mahdi pertama adalah maksum dan salah seorang Hujjat Allah; dia juga washi, khalifah, orang yang pertama beriman dengan bapanya, pelopor utama dan pemimpin tentera yang akan berjuang sebelum Kemunculan Al-Qoim bagi membuka jalan ke arah penubuhan Daulahnya.
Manakala bagi komander panji hitam dari timur, dia adalah khalifah Al-Mahdi (a.s); oleh kerana khalifahnya hanya satu sahaja, maka dia adalah Mahdi pertama sendiri dan riwayat berikut menyokongnya:
• [Sekiranya kamu melihat panji hitam keluar dari Khurasan, bersegeralah kepada mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji, kerana di dalamnya khalifah Al-Mahdi.][11]
Saya telah sebutkan bahawa Al-Yamani (a.s) adalah komander panji hitam dari timur, yang juga Hujjat (bukti dan autoriti) Allah dan maksum. Tambahan lagi, riwayat menunjukkan dia juga adalah pelopor utama Imam Mahdi (a.s).
• Rasulullah (sawas) bersabda: [Tiga orang akan berbunuhan antara satu sama lain di sisi harta kamu; kesemua mereka adalah anak-anak khalifah yang berbeza, namun tiada seorang pun akan menjadi penerima. Selepas itu, panji hitam akan keluar dari timur dan akan melancarkan pertempuran yang sengit terhadap mereka. Rasulullah (sawas) kemudian menyebutkan seorang lelaki muda dan bersabda, sekiranya kamu melihatnya, berbaiahlah kepadanya, kerana dia adalah khalifah Al-Mahdi.]
Lelaki muda ini, Al-Yamani, telah disahkan sebagai peribadi ma'sum dan Hujjat, kerana Rasulullah (sawas) mengarahkan supaya berbaiah kepadanya. Imam Al-Baqir (a.s) memberi keterangan lanjut untuk mengesahkan bahawa Al-Yamani adalah Hujjat apabila dia berkata: [Barangsiapa yang berpaling (memberontak) terhadapnya adalah dari kalangan ahli neraka]. Oleh kerana Mahdi pertama adalah washi, maka sifat maksum beliau dan identiti beliau sebagai Hujjat Allah secara automatik tertegak dengan sendirinya. Sebagaimana riwayat sebelumnya menunjukkan bahawa dia adalah khalifah Al-Mahdi (a.s), dan memandangkan khalifah Al-Mahdi hanya satu, maka tidak dapat dinafikan bahawa Al Yamani adalah Mahdi pertama. Walau bagaimanapun, jika kita mengatakan bahawa Al-Yamani adalah orang yang berbeza daripada Mahdi pertama, saya akan mengatakan bahawa salah seorang dari keduanya pasti menjadi Hujjat ke atas yang lain, dan yang seorang lagi akan bernaung di bawah panjinya.
Kemudian, sekiranya seseorang itu berhujah bahawa Mahdi pertama adalah Hujjat, peranan Al-Yamani akan menjadi sekunder (kurang penting) dan dia akan bersatu di bawah panji Mahdi pertama. Ini tidak benar kerana riwayat-riwayat menyebutkan bahawa Al-Yamani adalah pelopor utama Imam Mahdi (a.s) dan umat Islam tidak sepatutnya memberontak terhadapnya, kerana sesiapa yang berbuat demikian adalah kalangan ahli neraka. Rasulullah (sawas) menuntut manusia untuk memberi bai'ah kepadanya walaupun mereka terpaksa merangkak di atas salji, dan riwayat dengan jelas mengesahkan bahawa dia adalah pengganti Al-Mahdi (a.s).
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu berhujah bahawa Al-Yamani adalah Hujjat, saya akan mengatakan bahawa Rasulullah (sawas) menyebutkan Mahdi pertama di dalam wasiat baginda dan bersabda: hendaklah diserahkannya kepada anaknya, yang akan menjadi pertama Mahdis dan lain-lain bukti lagi. Rasulullah (sawas) menetapkan bahawa Al-Yamani akan diberi bai'ah dan menyatakan bahawa dia adalah washi dan khalifah Imam Al-Mahdi (a.s). Oleh itu, dia tidak akan bernaung di bawah panji selain daripada panji bapanya. Juga, Rasulullah (sawas) tidak akan menyeru orang ramai untuk berbai'ah kepada dua orang serentak, sedangkan kedua-dua mereka wujud pada masa yang sama, iaitu di masa kezuhuran. Ini kerana Mahdi pertama adalah yang pertama beriman dengan Imam Al Mahdi (a.s) pada masa kezuhuran baginda, dan Rasulullah (sawas) berkata: [... beliau adalah yang pertama yang beriman], dan Al-Yamani adalah panglima pada masa kezuhuran Imam, yang bermaksud mereka wujud pada masa yang sama. Oleh itu, baiah yang dituntut oleh Rasulullah (sawas) pada masa kezuhuran hanya boleh merujuk baiah kepada satu orang sahaja iaitu Mahdi pertama merangkap Al-Yamani.
(C) Kemaksumannya:
Oleh kerana riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Al-Yamani adalah maksum dan Mahdi pertama juga adalah ma'sum, tidak terdapat riwayat atau bukti yang menentang hakikat bahawa figur Al-Yamani dan Mahdi pertama adalah orang yang sama, atau sebaliknya. Kerana seseorang itu tidak dapat memahami riwayat-riwayat melainkan dengan mengakui bahawa Al-Yamani dan Mahdi pertama adalah peribadi yang sama dan maksum.
(D) Darjat keakraban dengan Imam (a.s):
Riwayat berkaitan Mahdi-Mahdi telah menetapkan bahawa orang yang pertama beriman dengan Imam Al-Mahdi (a.s) akan menjadi washinya. Riwayat lain menyatakan bahawa seorang sahaja yang tahu di mana Imam Mahdi (a.s) berada dan dia adalah washi atau mawla yang memegang urusan selepas Imam (penggantinya).
• Diriwayatkan daripada Abu Abdullah (a.s), berkata: [Sesungguhnya bagi Shohibul Amr ini dua keghaibahan, salah satunya akan berlangsung begitu lama sehingga sebahagian manusia percaya dia telah mati, dan sebahagian lain mengatakan dia telah lenyap, sehinggakan tidak seorang pun dari sahabatnya yang tinggal melainkan beberapa orang. Tiada siapa dari kalangan anak keturunan dan orang lainnya yang tahu kedudukan sebenarnya melainkan mawla yang akan mengganti urusannya.][12]
• Diriwayatkan daripada Abu Abdullah Al-Hussein Bin Ali (a.s), [Shohibul Amr (Imam Mahdi a.s) ada dua keghaibahan, sala satunya akan berlangsung begitu lama sehingga sebahagian manusia percaya dia telah mati, dan sebahagian lain mengatakan dia telah lenyap. Tidak seoraang pun dari wali atau selainnya yang mengetahui kedudukan sebenarnya melainkan mawla yang menggantikan urusannya.][13]
Dua riwayat terdahulu jelas menunjukkan bahawa tidak seorang pun dari keturunan Imam Mahdi (a.s) akan tahu di mana kedudukan bapanya pada masa kezuhuran Imam (a.s), kecuali peribadi yang diamanahkan untuk menggantikan urusan dan memerintah selepas Imam (a.s), dia yang tidak dapat diragu dan disangkal lagi adalah washi, yang juga adalah Mahdi pertama.
• Diriwayatkan daripada Abd Al-A'la Al-Halabi, daripada Abu Jafar (a.s), berkata: [Apabila sampai (Al Qoim) ke Ath-Tha'labiyah, maka bangkitlah seorang lelaki dari tulang sulbi bapanya, yang kuat tubuh badannya dari manusia lainnya dan amat teguh hatinya semata-mata untuk Pemilik urusan ini, berkata: Wahai manusia, apa yang kamu sedang lakukan? Demi Allah, anda hanya menakut-nakutkan manusia seperti menakut-nakutkan ternakan. Apakah ini dengan perjanjian (Ahd) Rasulullah (sawas) atau apa? Maka berkatalah mawla yang mengiringi baiah: Demi Allah, seelok-eloknya kamu diam atau aku pecahkan kedua biji matamu. Al-Qa'im kemudian berkata kepadanya: Bertenanglah wahai si fulan. Sesungguhnya di sisiku janji (ahd) dari Rasulullah. Wahai si fulan ambilkan untuk aku dari dalam kotak dan dia membawa kepadanya. Lalu beliau (Al Qoim) membaca perjanjian Rasulullah (sawas). Maka lelaki tadi berkata: Jadikan diri saya tebusan untukmu; hulurkan saya kepalamu supaya saya dapat menciumnya, maka dihulurkan kepalanya dan dicium antara kedua matanya. Jadikan diri aku tebusan untuk mu, perbaharuilah baiah kami, maka dia memperbaharui baiah mereka.[14]
Manakala bagi Al-Yamani, dia adalah peribadi yang menyeru manusia untuk berbaiah kepada Imam Mahdi (a.s), sepertimana yang dinaskan di dalam riwayat Al-Baqir (a.s) serta dalam riwayat lainnya; [kerana dia menyeru kamu kepada pemilik kamu] dan dia dirujuk sebagai [khalifah Allah Al-Mahdi]. Dalam riwayat yang lain, beliau telah ditetapkan sebagai [pengganti (khalf) kepada pengganti (Al Khalaf)]; dan dalam satu riwayat yang berbeza [khalifah Allah Al Mahdi]. Riwayat-riwayat tersebut adalah seperti berikut:
• [Sekiranya kamu melihat panji hitam keluar dari Khurasan, bersegeralah kamu kepada mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji, kerana di dalamnya Khalifah ِAllah Al-Mahdi.][15]
• Amirul Mukminin (AS) berkata: [... sehinggalah apabila ghaib seseorang dari keturunanku dari penglihatan (orang) ... dan Syiah Ali dan musuhnya (Nawasib) menunaikan ibadah haji dalam tahun itu bagi tujuan semata-mata mencari dan mendapatkan maklumat tentang pengganti kepada pengganti (khalf al khalaf), tetapi sia-sia kerana dia tidak melihat apa-apa atau mendengar apa-apa berita dan tiada pengganti (khalf). Ketika itu Syiah Ali akan dikeji oleh musuh-musuh mereka sekeji-kejinya, kejahatan dan kefasikan menjadi lebih terserlah kerana tentangan mereka kepadanya (syiah Ali)...][16]
• Rasulullah (sawas) bersabda: [ Tiga orang akan berbunuhan antara satu sama lain di sisi harta kamu; kesemua mereka adalah anak-anak khalifah yang berbeza, namun tiada seorang pun akan menjadi penerima. Selepas itu, panji hitam akan keluar dari timur dan mereka akan melancarkan pertempuran yang sengit terhadap mereka. Rasulullah (sawas) kemudian menyebutkan sesuatu yang aku tidak mengingatinya dan kemudian bersabda, sekiranya kamu melihat ketua mereka, berbaiahlah kepadanya, kerana dia adalah khalifah ِAllah Al-Mahdi.][17]
Yang mana satukah di antara kedua-dua mereka adalah khalifah? Adakah ia Mahdi pertama atau Al-Yamani? Jika mereka bukan orang yang sama, maka Al-Yamani perlu menjadi komander panji hitam dari timur, yang Rasulullah (sawas) tuntut supaya berbai'ah kepadanya. Manakala Mahdi pertama, washi Imam Al-Mahdi, juga adalah seorang yang diwajibkan berbai'ah kepadanya seperti yang termaktub dalam wasiat Rasulullah pada malam kewafatannya. Oleh itu, disimpulkan bahawa khalifah tersebut mestilah peribadi yang sama.
• Daripada Al Baqir (a.s):”Shohibul Amr (a.s) akan Ghaib selama beberapa tempoh generasi berlalu,” seraya menunjukkan tangannya kearah “Zee tuwa”. Kemudian Imam (a.s) berkata: “Sebelum dia (a.s) bangkit , mawlanya yang bersama-sama dengannya akan berjumpa dengan sebahagian sahabatnya dan bertanya: ‘Berapa ramai bilangan kamu di sana?’ Akan dijawabnya: ‘Kami seramai empat puluh orang’. Kemudian dia akan bertanya: ‘Bagaimanakah keadaan kamu sekiranya kamu melihat Pemilik kamu?’ Balas mereka: ‘Demi Allah, sekiranya gunung menentangnya sekalipun, kami akan menentang bersama-sama dengannya.’ Setelah itu, dia mendatangi mereka secara berdepan dan berkata: ‘Tunjukkan ketua-ketua atau sepuluh orang yang terbaik di kalangan kamu, lalu ditunjukkan mereka kepadanya.’ Kemudian mereka berpergian bersama sehingga berjumpa dengan Pemilik mereka, dan membawa mereka balik pada malam berikutnya.”[18]
Setelah menelusuri riwayat ini, maka jelas bahawa Imam Mahdi (a.s) ditemani oleh sosok peribadi yang akan mengetuai kumpulan pertama yang datang untuk menyokong Imam (a.s), kumpulan yang telah berbaiah kepada mawla (yang diamanahkan) yang menemani dan mendokong Imam Mahdi (a.s). Manusia tidak mungkin mengenali Imam mereka sendiri. Oleh itu, perkara pertama yang wajib dilakukan oleh orang-orang yang mencari-cari Imam adalah mengenali peribadi mawla yang bersama-sama dengan Imam (a.s), iaitu pengantara di antara mereka dan Imam (a.s). Dia hendaklah dikenali dengan panggilannya secara terbuka kepada orang ramai agar berbaiah kepada Imam Mahdi (a.s), disebabkan itu dia akan berucap kepada empat puluh lelaki supaya menunjukkan kepadanya sepuluh orang dari kalangan mereka. Sudah pastinya 40 orang itu juga datangnya daripada bilangan yang besar sebelumnya yang datang untuk menawarkan sokongan mereka. Jika tidak, bagaimana kita hendak menjelaskan kesanggupan mereka untuk melawan tanpa mengambilkira persenjataan dan bilangan musuh? Jika seseorang berpendapat bahawa kesediaan itu datang dari kesanggupan untuk mengorbankan kehidupan mereka demi Imam mereka walaupun bilangan mereka kecil, saya akan bertanya kepadanya: Adakah mereka juga bersedia untuk mengorbankan Imam sebelum menyempurnakan misinya, jika mereka hanya empat puluh orang dengan tidak ramai pengikut di belakang mereka?
______________________________________________________
[1] Bihar Al Anwar jilid 53 ms 147, Ghaybah Al Toosi ms 150, dan Ghayat Al Maram jilid 2 ms 241.
[2] Muntakhab Al Anwar Al Mudhi’ah, ms 343.
[3] Al Kahfi: 103-104
[4] Al Qashas: 5
[5] An Nisa’: 165
[6] Al An’aam: 149
[7] Al Ghaybah An Nu’mani, ms 138.
[8] Al Ghaybah An Nu’mani, ms 140.
[9] Al Ghaybah An Nu’mani, ms 140.
[10] Al Jinn: 26-27
[11] Al Malahim wal Fitan, Sayyed Ibn Tawoos, ms 53.
[12] Bihar Al Anwar, jili2 52, ms 380.
[13] Muntakhab Al Anwar Al Mudhi’ah, ms 155.
[14] Al Mahdi Al Muntazhar, Al haj Hussein Al Shakiri, jilid 2, ms 436.
[15] Al malahim wa Al Fitan, Sayyid Ibn Thawoos, ms 52.
[16] Al Ghaybah li AnNu’mani, ms 144.
[17] Ghayat Al Maram, Sayyid Hashim Al Bahrani, jilid 7, ms 108.
[18] Ghaibah Al-Namani, P. 187, Tafsir Al-Ayashy, V. 2, P. 56, Bihar Al-Anwar, V. 52, P. 341, Muajim Ahadith Al-Imam Al-Mahdi, V. 5, P. 2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan