Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Amat Mengasihani.
Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Allah berselawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdi.
Salam sejahtera dan rahmat Allah serta berkat-Nya ke atas kamu.
Wahai muslimin dan muslimat, semoga kalian diberkati dan dalam kesihatan yang baik tahun ini dan setiap tahun pada peristiwa permulaan Eid Hakimiyyah Allah (Hari Ketuanan Allah) dan Eid Ghadeer yang diberkati. Peristiwa ini adalah mulia yang dihargai Allah dan di hati Muhammad kekasih Allah, serta di hati-hati orang yang beriman. Ya Allah yang menyedia, mengatur, merancang dan mempersiapkan diriNya pada hari ini untuk menyambut makhluk yang mengharapkan pemberianNya dan meminta AnugerahNya dan kurniaanNya. Maka kepadaMu Ya Tuhan segala persiapanku, perkiraanku, perancanganku dan kesediaanku untuk meminta pemberianMu dan mengharapkan kurniaanMu. Ya Allah, jadikanlah anugerahMu untuk kami pada hari ini adalah kemenangan agamaMu yang benar melalui kami. Yang sebaik-sebaik Pemurah dan Maha Luas Pemberian.
Allah berfirman: Dan Kami jadikan mereka Imam-Imam, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami. [Al Anbiya: 73)
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing dengan perintah kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. [Al Sajdah: 24]
Para Imam yang mulia (selawat Allah ke atas mereka) telah mengemukakan keikhlasan dalam beribadah {dan adalah mereka penyembah-penyembah kami}, dan mereka mengemukakan kesabaran, kepercayaan, dan keyakinan dengan ayat-ayat Allah dan Wahyu Allah {apabila mereka bersabar dan meyakini ayat-ayat Kami}. Maka mereka berhak untuk Allah menjadikan mereka Imam-Imam yang memandu dengan perintahNya. Dalam kedua-dua ayat ini, Allah swt yang {tidak ditanyakan tentang apa yang Dia lakukan} menjelaskan sebab Dia menjadikan para Abid ini sebagai Imam-Imam yang memandu dengan perintahNya, kerana keutamaan tanpa sebab adalah menafikan keadilan dan Dia swt adalah Maha Adil. Disebabkan ini, saya mengatakan wahai mukminin dan mukminat yang dikasihi bahawa kalian pada hari ini memiliki fitrah dan kesediaan untuk menjadi seperti Muhammad (sawas), Ali (a.s), dan Keluarga Muhammad (a.s), jadi janganlah kalian mensia-siakan peluang ini. Harus kalian berhati-hati kerana setiap seorang daripada kalian membawa titik hitam yang boleh memusnahkan kalian dan menjadikan kalian lebih jahat daripada Iblis (laknat Allah ke atasnya) yang merupakan Imam bagi mereka yang takbur ke atas khalifah Allah di bumi-Nya. Saya memohon kepada Allah agar melebihkan kalian dengan kebaikan di akhirat dan dunia.
Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam "Illiyyiin". (18) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Illiyyiin" itu? (19) Ialah kitab catatan yang jelas nyata, (20) Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya. (21) Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: (22) Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). (23) Engkau dapat melihat pada muka mereka: Cahaya nikmat yang mereka perolehi. (24)Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya, (25) Meterainya kasturi, dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (26) [Al Muthaffifin: 18-26].
Apa yang Ali (as) tawarkan untuk layak mendapatkan keutamaan AIlah ini?
Ali (Selawat Allah ke atasnya) membantu Rasulullah Muhammad (sawas) pada awal diutuskannya dan dia adalah yang pertama beriman. Apatah lagi dia adalah seorang lelaki yang tersangat muda umurnya telah menawarkan hidupnya sebagai korban di tangan Allah swt dan setiap kali [pertempuran] dia telah meninggalkan luka atau luka parah yang membawa maut, tetapi tidak pernah menghalangnya dari mara ke arah kematian di masa yang lain. Dia mempersembahkan ibadah dan keikhlasan dengan membelanjakan kesemua yang dia miliki, dari cincinnya dan makanannya ketika sedang berpuasa. Tiada siapa yang mengetahui perbuatannya jika tidak diturunkan Allah ayat al-Quran yang menyebutkan perbuatannya itu. Ali (Selawat Allah ke atasnya) menyembunyikan tangisannya di antara tangan Allah swt hattakan dari Fatimah (Selawat Allah ke atasnya). Ali telah menghancurkan keakuannya dan tidak pernah meminta untuk disebut, maka Allah memberikan kepadanya kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan serta melebihkannya ke atas seluruh alam.
Adapun di akhir hayatnya, dia adalah pemerintah bagi sebuah daulah yang besar. Oleh itu, saya tinggalkan kepadanya untuk menggambarkan keadaannya ketikamana dia (selawat Allah ke atasnya) berkata: "Adakah aku akan berpuas hati dengan diriku sendiri untuk digelar Amirul Mukminin, sedangkan satu detik pun aku tidak bersekutu dengan mereka (Orang beriman) dalam fitnah perbuatan yang menimbulkan kebencian masa ini? Atau menjadi model ikutan mereka dalam kesusahan hidup? Aku tidak diciptakan untuk disibukkan dengan memakan makanan-makanan lazat seperti binatang ternakan ditambat yang hanya bimbangkan jerami, atau haiwan liar yang berkeliaran di sekitar makanan, yang hanya memperdulikan makanannya sahaja tanpa mengetahui apa tujuan, atau ditinggalkan sia-sia dan dibiarkan tidak berguna, atau patutkah aku merenggut tali kesesatan, atau tercari-cari jalan kesesatan tanpa ilmu?
Pergi jauh dariku wahai dunia, aku telah singkirkan kamu jauh-jauh, aku telah memisahkan diri dari cengkamanmu, aku melepaskan diri dari perangkapmu, aku mengelak dari terjerumus ke dalam jurangmu. Di manakah orang-orang yang kamu goda dengan senda guraumu? Di manakah umat-umat yang kamu pesonakan dengan perhiasanmu? Di sini mereka! dipenjarakan di dalam kubur dan tersimpan di liang lahat. Demi Allah, Sekiranya kamu seseorang yang boleh dilihat dengan bentuk dan deria, akanku tegakkan ke atasmu undang-undang Allah bagi orang-orang yang kamu goda mereka dengan harapan-harapan, umat-umat yang kamu lemparkan mereka ke dalam jurang, raja-raja yang kamu serahkan mereka kepada kebinasaan dan kamu bawa mereka ke destinasi penderitaan, tanpa ada perhentian dan permulaan.
Jauh sekali, siapa yang memijak tempat licinmu akan tergelincir, siapa yang belayar dilautan besarmu akan tenggelam, siapa yang melencung dari perangkapmu akan berjaya. Orang yang selamat daripadamu tidak keberatan jika kediamannya tidak selesa. Dunia di sisinya adalah seperti hari yang telah tiba masa luputnya. Pergi jauh dariku [wahai dunia], demi Allah aku tidak menghinakan diriku kepadamu sehingga kamu akan menghinakanku, aku juga tidak melunakkan diri kepadamu sehingga kamu dapat mengemudiku. Demi Allah, kecuali dengan apa yang dalam kehendak Allah, aku meredhakan diriku dengan latihan untuk berpuashati dengannya jika ditakdirkan aku mendapat sekeping roti untuk dimakan, dan secubit garam sebagai penyedap, dan aku menyediakan biji mataku seperti mata air yang telah kering sumbernya, sehingga tiada lagi air mata. Pernahkah kamu melihat binatang ternakan duduk melutut selepas kekenyangan dengan rumput ragutan mereka? Atau melihat biri-biri berbaring dan berehat selepas puas meragut rumput? Perlukah Ali makan sepuas-puasnya dan kemudian tidur dengan aman? Maka bekulah matanya selepas bertahun-tahun dia mengikuti contoh binatang liar dan ternakan ragut.
Berbahagialah [sesungguhnya] orang yang memenuhi kewajipannya kepada Tuhannya, menahan penderitaannya, meninggalkan tidurnya pada waktu malam, dan apabila rasa mengantuk menguasainya dia menjadikan bumi sebagai tilam dan tangannya sebagai bantal. Di kalangan orang yang berjaga pada waktu malam kerana takutkan destinasi mereka di akhirat, berenggang dari tempat tidur mereka, bibir mereka bersenandung dalam mengingati Allah, dan dosa-dosa mereka larut semasa mereka mencari pengampunan {Mereka adalah parti Allah, Sesungguhnya! Parti Allah adalah orang-orang yang berjaya}.
Allah telah merahmatimu wahai Abu al-Hassan. Kamu mendahului [kepada Allah] dengan tersangat jauh, dan meletihkan sesiapa jua yang datang selepas kamu [dalam perlumbaan] dengan keletihan yang teramat sangat.
Wahai orang-orang dikasihi [Ansar], peristiwa ini juga mengingatkan kita kepada mereka yang telah mengingkari dan akan terus mengingkari Ketuanan Allah, Ali (a.s) dan ikrar taat setia di Ghadeer, walaupun hakikatnya [peristiwa Ghadeer] diriwayatkan secara mutawatir. Malah mereka tetap berteori tentang Ketuanan manusia walaupun wujud ayat-ayat yang jelas dan isyarat petunjuk yang menjelaskan Ketuanan Allah, serta hakikat bahawa bumi ini tidak pernah kosong dari Khalifah Allah selepas Muhammad (sawas), begitu juga sebelumnya.
Oleh itu, wahai umat Islam takutlah kepada Allah dan tunduklah kepada kebenaran yang Allah telah zahirkan pada Hari Ghadeer, dan berimanlah dengan Imamah Ali (a.s) yang lebih utama daripada diri mereka sendiri dengan nas Ghadeer, sepertimana Rasulullah (sawas) dan Allah swt (lebih utama dari diri mereka). Wahai umat Islam, dalam situasi yang melanda sekarang ini dengan kekabutan kelompok (firqah) dan pertumpahan darah khususnya di Syria. Maka saya tegakkan hujah di hadapan Allah dan mengajak kelompok-kelompok umat Islam dari kalangan Sunnah, Syiah, dan lain-lain untuk bersatu di bawah panji kebenaran yang saya tegakkan dan serukan kepada mereka. Panji Ketuanan Allah dan taat setia kepada Allah, panji tunggal wasiat Muhammad ibn Abdullah (sawas) pada malam kewafatannya, yang menyebutkan di dalamnya 12 Imam dan 12 Mahdi.
Saya telah pun menjelaskan kebenaran buat mereka, maka takutlah kepada Allah dan bersatu di bawah panji kebenaran dan panji Imam Mahdi yang dijanjikan Nabi (sawas) di akhir zaman. Panji ini adalah panji Ahlul Bait Nabi kamu, maka janganlah kamu melepaskan peluang dalam membantu dan berarak di sekelilingnya.
Sekarang alihkan perhatian kamu wahai Ahlul Sunnah [Muslim] kepada kelompok takfiri (wahabi salafi) bukan sahaja menghalalkan darah Syiah, malah turut mengkafirkan ahlu sunnah yang lain dan menghalalkan darah-darah mereka. Apa yang telah berlaku dan masih berlaku di Libya seperti perobohan maqam-maqam sufi, pembunuhan Sunni dan Sufi Asy'ari yang cuba untuk mempertahankan tempat-tempat suci mereka. Apa yang telah berlaku di Mesir seperti pembunuhan pengawal sempadan di Sinai yang Sunni. Apa yang telah berlaku dan masih berlaku di Iraq dan Somalia adalah bukti terbaik bahawa puak Wahabi ini telah menyimpang dari agama dan mereka adalah Khawarij akhir zaman yang mana Rasulullah Muhammad (sawas) telah memberi amaran tentang fitnah mereka. Mereka dari kelompok Wahabi ini didorong oleh kejahilan, perlucutan akal fikiran, maruah dan kehormatan diri; dan bukti terbaik untuk disaksikan semua adalah apa yang mereka lakukan baru-baru ini di Pakistan apabila mereka menyerang seorang murid perempuan yang miskin dengan senjata api kerana dia enggan berhenti belajar. Kebenaran yang mengejutkan ini tidak terhenti setakat itu sahaja apabila beberapa sheikh Ahlul Sunnah turut tunduk kepada mereka dan mula menyerang mereka yang mengikut (tashayyu’) Keluarga Muhammad (a.s), sebagai meredhakan tindakan Wahabi pembunuh yang merupakan Khawarij di akhir zaman.
Saya berharap kepada Allah agar dakwah ini diterima di sisi para intelektual dan pengkaji yang dahagakan kebenaran agar mereka mendapat manfaat daripadanya hari ini. Seterusnya mengambil inisiatif untuk menjabat tangan ini yang Allah telah panjangkan buat mereka supaya tidak menyesal esok hari sekiranya masih ada masa untuk mereka menyesal. Sedangkan sebahagian pemerintah atau penindas di negara-negara Arab tidak pernah punya masa untuk menyesal.
Harapan saya agar Syiah Keluarga Muhammad (a.s) memilih untuk berada di bawah panji ini kerana ia adalah panji tunggal kebenaran yang amat nyata, yang menyeru kepada kebenaran. Satu-satunya panji yang tidak mengampu dan tidak bercampur baur dengan ahli kebatilan. Orang yang bersalah dari kalangan Syiah Keluarga Muhammad (a.s) adalah orang yang bergantung kepada orang-orang [ulama] yang kosong dari sebarang dalil syari’e mahupun akli dalam mendakwa kewajipan taklid dan kenaiban umum (kepada Imam Mahdi a.s). Kesilapan mereka yang bergantung kepada orang-orang [ulama] yang tidak mempercayai antara satu sama lain. Setiap seorang daripada mereka telah mengambil sekelompok dari Syiah Keluarga Muhammad (a.s) dan membentuk puak untuk dirinya sendiri tanpa dilantik oleh Allah. Sehingga mereka memecahbelahkan Syiah Keluarga Muhammad (a.s) kepada banyak puak dan menjadikan mereka tidak dapat berbuat sesuatu bersama-sama walaupun untuk menentukan dua hari raya Eid. Oleh itu, bagaimana mereka dapat bergantung kepada orang-orang [ulama] ini dalam perkara yang lebih besar atau ancaman yang lebih hebat sampai bila-bila pun. Bagaimana mungkin bergantung atas orang-orang (ulama) ini dan kalian melihat mereka melibatkan diri dalam politik dan kerajaan Iraq sebagai contoh. Mereka mempunyai nasib yang lebih teruk daripada air ludah Musailamah [orang yang mendakwa menjadi nabi pada masa Nabi Muhammad (sawas)], apabila salah seorang daripada pengikut-pengikutnya memintanya untuk memberi berkat (tabarruk) kepada sebuah telaga yang mempunyai sedikit air, maka dia meludah di dalamnya untuk meningkatkan air tetapi sebaliknya ia menjadi kering.
Wahai manusia sekalian, biarkanlah setiap mukmin memilih jalannya sendiri dengan teliti dan berhati-hati dengan Allah, kerana berkemungkinan dia akan menjadi sebahagian daripada rencana Iblis dan menolak dirinya kepada kemarahan Allah. Dan berkemungkinan dia akan menjadi sebahagian daripada perancangan Mahdi Ilahi, menyokong kebenaran, menyokong panji taat setia kepada Allah, panji ketuanan Allah, dan panji hari Ghadeer yang diberkati.
Dan salam sejahtera dan rahmat Allah serta berkat-Nya ke atas kamu.
Ahmad al-Hassan
Hari Ketuanan Allah
Hari Ghadeer yang diberkati 1433 Hijrah (2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan