Jawapan Dari Imam Ahmad Al Hassan (a.s) Yang Akan Membuatkan Anda Mengalirkan Air Mata.
Untuk membaca versi Bahasa Arab, sila pergi ke sini: http://vb.al-mehdyoon.org/showthread.php t = 20406?
Telah berkata Imam Ahmad Al-Hassan Yamani (a.s): Bagaimana mungkin aku menuntut kehidupan dunia ini?
Aku tidak fikir bahawa orang yang meminta-minta kemasyhuran yang tinggi atau kemuliaan akan mengambil jalan yang telah ku ambil ini. Diriku dan anak-anakku telah terasing sebelum dakwah dan kini lebih terpencil serta berkelana di bumi Allah ini. Sepertimana halnya orang-orang yang zalim dan penindas telah lakukan kepada bapa-bapaku para Aimmah (a.s). Aku mengambil mereka sebagai contoh teladanku kerana kebenaran itu tidak meninggalkan seorang rakan pun untuk pemiliknya kecuali Allah swt. Orang yang paling kukasihi di hatiku ini adalah ibuku, yang aku tidak pernah berpisah darinya walau satu hari pun sebelum dakwah ini dan selepas aku dipaksa untuk berpisah dengannya sehinggalah dia meninggal dunia, sedang aku berjauhan darinya dan menyebabkan aku tidak dapat mengucapkan selamat jalan kepadanya.
Apakah seorang yang meminta-minta dunia ini akan mengambil jalan yang sukar lagi menyedihkan dan menanggung segala kesakitan serta kepedihan!!!
Aku tidak fikir seorang yang meminta-minta wang akan meletakkan Baitulmal bagi orang-orang mukmin di setiap Negara, pengurusan akaun, dan tempat-tempat pengeluaran atau perbelanjaannya diketahui supaya direkodkan setiap jumlah yang keluar dan masuk Baitulmal. Wakil-wakil yang diizinkan menerima Khums adalah dikenali umum seperti Sayyed Hassan Al-Hamami dan Sheikh Sadiq Al-Muhammadi, dan mereka ini tidak pernah menghantarnya kepadaku dan tidak pula mereka menyimpan untuk diri mereka sendiri. Sebaliknya mereka membawanya ke Baitulmal dan Baitulmal akan mengedarkannya kepada fakir miskin, anak-anak yatim, balu-balu, dan penuntut ilmu dan lain-lain, bahkan turut diberikan kepada mereka yang tidak beriman dengan dakwah ini.
Aku tidak mempunyai lebihan wang tambahan peribadi melainkan apa yang aku perlukan untuk kehidupan seharian dan sewa kediaman untuk menampung kehidupan keluargaku. Ya, apa yang aku miliki hanyalah sebidang kecil tanah pertanian bersempadan Najaf yang ku beli supaya aku dapat tinggal di dalamnya. Di situlah aku bina sebuah rumah yang sangat kecil sebagai penenteram hati buat golongan miskin, dan aku berkata; selagi aku hidup di Iraq, aku akan terus hidup sepertimana orang-orang miskin hidup. Kemungkinan suatu hari nanti apabila berlalunya masa, kalian akan berpeluang melihat rumah ini.
Wang yang aku gunakan bagi membeli tanah ini, sebahagiannya telah diberikan oleh abang saya, semoga Allah melindungi dia. Sebahagiannya pula saya pinjam dari salah seorang sahabatku dan beliau juga adalah salah seorang yang beriman dengan dakwah kebenaran ini iaitu Sheikh Abu Muhammad Al-Ziyadi, semoga Allah melindungi dia. Aku telah pun membayar kembali wangnya selepas memperolehi hasil tanaman dari tanah yang diusahakan. Ketikamana Sheikh Abu Muhammad memberikan aku wang yang tercetak di atasnya perkataan "Fadak” di hadapan beberapa Ansar dan pada hari yang sama dia telah memberikanku buku "Al-Ghaybah" yang turut tercetak perkataan "Fadak" padanya. Justeru aku berkata: “Subhanallah (Maha Suci Allah) ayat-ayat Allah mengikuti satu sama lain.” Perkara ini telah disaksikan oleh beberapa Ansar, antara mereka adalah Sheikh Abu Muhammad Al-Ziyadi dan Sheikh Abu Hasan Al-Ziyadi dan Sheikh Abu Hussein, semoga Allah melindungi mereka.
Bagaimanapun, aku beserta anak isteriku telah keluar dari tanah ini dalam tahun 2007, hanya beberapa jam sebelum ia diserang oleh tentera yang menyokong Marja’ dan atas desakan para marja’. Apabila mereka tidak dapat menjejakiku, maka mereka merampasnya, meletakkannya di bawah pengawalan mereka dan tidak lama setelah itu mereka meninggalkannya. Ianya serupa sebagaimana Fadak! dan serupa sebagaimana tindakan mereka yang hodoh menyerang rumah ibuku Al-Zahraa' (a.s). Aku tidak tahu menahu mengenai tanah ini sejak tahun 2007 sehingga beberapa hari lalu, apabila salah seorang yang beriman iaitu Sheikh Abu Hassan dan beberapa sheikh suku Najaf, semoga Allah membalas mereka dengan kebaikan, berusaha untuk mengembalikannya semula. Segala pujian hanyalah buat Allah yang menjadikan ibuku Fatima Al-Zahraa' (a.s) sebagai contoh tauladanku. Bapaku Amirul Mukmin Ali (a.s) telah berkata:
(Sudah tentu bahawa kesemua yang kami punyai di bawah langit ini adalah Fadak, tetapi sekumpulan orang berasa tamak akannya dan di pihak yang lain pula menahan diri darinya. Benar, Allah adalah sebaik-baik penghukum. Apa yang akanku perbuat dengan Fadak atau tanpa Fadak, manakala esok jasad ini akan pergi ke kubur yang gelap dan dihancurkan dan berita tentangnya akan lenyap. Ia adalah lubang yang walaupun diluaskan kelebarannya atau tangan si penggali membuatkan ia luas dan terbuka, batu-batu dan tanah liat tetap akan menyempitkannya dan tanah tetap akan jatuh menutup bukaannya. Aku cuba untuk menjaga diriku dengan ketakwaan supaya aku tetap aman pada hari yang amat menggetirkan dan tetap stabil di tempat-tempat licin.)
Sesetengah mereka akan meminta-minta dunia dengan memenuhi keinginan seksual mereka. Bagiku, aku hanya berkahwin dengan seorang isteri sahaja sejak sebelum dakwah lagi dan dia adalah ibu kepada anak-anakku, dan aku tidak mengenali selainnya di dalam hidupku, tidak melalui perkahwinan yang kekal mahupun perkahwinan sementara. Jadi, di manakah logik mengatakan aku menuntut-nuntut dunia dalam hal ini?!
Aku, dan sesungguhnya aku berlindung diri dari "ana", sehingga ke hari ini apabila aku bersama-sama dengan Ansar dan bila tiba waktu untuk memasak makanan, maka aku akan pergi memasak sendiri makanan. Apabila diperlukan seseorang untuk membasuh pinggan mangkuk, maka aku pergi dan membasuhnya dengan tanganku sendiri. Walaupun mereka ingin untuk berkhidmat kepadaku tetapi aku amat berbesar hati untuk berkhidmat kepada mereka. Jadi, apakah ini tingkah laku seseorang yang meminta-minta dunia?!
Aku, dan sesungguhnya aku berlindung diri dari "ana", membeli sendiri keperluan rumahku dari pasar. Aku tidak mempunyai perlindungan samada bersenjata atau tidak bersenjata. Segala puji hanya bagi Allah Yang telah memeliharaku dan membuatkanku tidak memerlukan itu semua. Aku tidak menerima sesiapa pun untuk mencium tanganku, malah tidak menghulurkan tanganku supaya dicium orang, sepertimana yang dilakukan oleh Marja dan wakil-wakil mereka.
Kesemua tersebut adalah benar, yang mana Ansar telah pun melihatnya sebelum ini, dan kini terdapat Ansar yang rapat denganku dan melihat perkara tersebut. Yang aku maksudkan bukanlah perkara yang tersembunyi. Sebaliknya, aku pernah dilihat dan ramai orang telah melihatku di masa lalu dan di masa ini.
Jadi, di manakah dunia yang aku meminta-minta padanya? Dan bagaimana pula aku meminta-mintanya? Dan dengan apa aku telah memintanya, semoga Allah memperbetulkan diri kalian?
Dalam riwayat disebutkan bahawa kalian diharamkan mencium tangan sesiapa pun kecuali Nabi atau washi. Jadi, adakah ia masuk akal apabila mereka yang bukan Nabi mahupun washi menghulurkan tangan mereka bagi dicium oleh manusia tangan-tangan mereka, dan dianggap sebagai menuntut untuk akhirat? Ahmad Al-Hassan, walaupun dia adalah washi yang menolak sesiapa jua dari mencium tangannya, dianggap sebagai meminta-minta dunia?
Demi Allah, aku tidak sepatutnya mengatakan bahawa kalian telah berlaku tidak adil kepada Ahmad Al- Hassan. Sebaliknya, kalian telah berlaku tidak adil kepada akal fikiran kalian, sekiranya beginilah cara kalian berfikir dan menilai.
Kasihanilah diri kalian, agar Allah mengasihani diri kalian. Mereka yang menjadikan taqlid (mengikut/ meniru ulama agama) sebagai wajib ke atas kalian adalah seumpama peniaga ayam dan penjual hartanah dan pengikut hawa nafsu. Mereka bukanlah orang yang meminta-minta untuk akhirat, dan mereka tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan akhirat. Kalian tahu akan hal ini dan telah pun melihat dengan diri kalian sendiri di Iraq. Buat mereka yang berada di luar Negara, kalian dapat melihat bahawa mereka menghantar anak-anak mereka untuk mengumpul Khums dan harta, di samping menghabiskan masa untuk keseronokan di barat, beralasankan tujuan informasi. Aku berharap kalian bertanya kepada mereka, mengapa mereka tidak menghantar ke Barat kecuali anak-anak mereka dan mengkesampingkan pelajar-pelajar Hawzah Najaf. Kenapa pejabat-pejabat mereka diuruskan oleh anak-anak mereka dan mereka berurusan dengan wang sesuka hati mereka tanpa penyeliaan atau pengurusan atau akauntibiliti atau pemantauan?
Kasihanilah diri kalian, agar Allah mengasihani kalian dan gunakanlah akal fikiran kalian untuk membeza dan mengetahui kebenaran kerana anda tahu orang yang meminta-minta dunia berdasarkan kelakuan, tingkah laku dan tindakan mereka."
Ahmad Al Hassan
Dzulhijjah 1433 hijrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan